Kos hidup makin mencengkam, rakyat harap bantuan ditambah dalam Belanjawan 2027
Kos hidup makin mencengkam, rakyat harap bantuan ditambah dalam Belanjawan 2027
KUALA LUMPUR: Peningkatan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pesara menjadi antara harapan utama rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan menyebabkan sebahagian masyarakat mengharapkan kerajaan menambah baik bantuan sedia ada bagi memastikan perbelanjaan harian tidak terus membebankan mereka.
Menerusi tinjauan , rata-rata responden berharap bantuan kerajaan dapat diselaraskan dengan peningkatan kos semasa, khususnya bagi keluarga mempunyai ramai tanggungan dan penduduk luar bandar.
Seorang pesara, Norihan Md Ishak berkata, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) wajar ditingkatkan memandangkan kerajaan sudah mempunyai rekod penerima yang berdaftar sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan dah ada nama-nama yang didaftarkan bertahun-tahun. Jadi, tambah sajalah SARA dengan bantuan sedia ada.
“Terutama mereka di pedalaman yang mempunyai anak ramai dan anak-anak masih bersekolah kerana sekarang semuanya memerlukan perbelanjaan,” katanya.
Seorang lagi pesara, Noridah Ismail berharap kerajaan turut memberi perhatian kepada masyarakat luar bandar yang sebahagiannya bergantung kepada hasil bumi sebagai sumber pendapatan.

Katanya, bantuan tambahan amat diperlukan terutama pesara yang masih mempunyai tanggungan keluarga.
Sementara itu, pemandu teksi, Zulkifli Baki berharap kerajaan mempertimbangkan peningkatan subsidi minyak bulanan selain menyemak semula kadar tambang asas teksi yang didakwa sudah terlalu lama tidak berubah.
Menurutnya, kadar tambang permulaan RM3 yang digunakan sejak kira-kira 16 tahun lalu tidak lagi seiring dengan peningkatan kos operasi.
“Subsidi kalau boleh tambahkan lagi sebab kami bawa teksi setiap hari. Meter itu pun kalau boleh dinaikkan kerana sudah lama RM3.

“Sekarang dengan banyak aplikasi e-hailing, pemandu teksi pun semakin susah,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, dengan perhatian rakyat tertumpu kepada langkah kerajaan menangani kos sara hidup serta memperkukuh kebajikan golongan rentan.-SAHIH
#kw: Belanjawan 2027, Kos Sara Hidup, Bantuan SARA, Pemandu Teksi
