Jualan terlalu murah, kerajaan panggil platform e-dagang
Jualan terlalu murah, kerajaan panggil platform e-dagang
KOTA KINABALU: Tindakan sesetengah platform e-dagang menawarkan barangan pada harga terlalu rendah sehingga menjejaskan peniaga tempatan mendapat perhatian kerajaan yang kini meneliti kesannya terhadap ekosistem perniagaan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memandang serius kebimbangan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor peruncitan serta industri pos dan kurier yang berdepan persaingan semakin mencabar.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah diarahkan menjemput semua pengendali platform e-dagang bagi mengadakan perbincangan berhubung isu berkenaan.
Katanya, langkah itu merupakan tindakan awal sebelum pertemuan bersama pihak berkepentingan diadakan bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Itu adalah langkah pertama. Seterusnya kita akan mengadakan satu pertemuan antara saya dan Datuk Seri Johari Ghani bersama platform-platform e-dagang serta pemilik kedai dan pengusaha PKS yang terjejas.
“Ini berikutan jualan produk terlalu murah ataupun di bawah harga pasaran pada kadar yang mungkin mendatangkan kesan terlalu negatif kepada perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, Isnin lalu.
Fahmi berkata, kerajaan tidak berhasrat menyekat perkembangan perniagaan digital atau menghalang peniaga memanfaatkan kemudahan platform e-dagang untuk memasarkan produk masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, keseimbangan perlu diwujudkan supaya perkembangan pesat sektor berkenaan tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan tempatan, khususnya pengusaha kecil yang turut bergantung kepada jualan secara fizikal.
Menurutnya, isu terbabit memerlukan penelitian menyeluruh kerana impaknya bukan hanya melibatkan sektor perdagangan dan peruncitan, malah turut memberi kesan kepada industri perkhidmatan pos serta kurier.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha menangani perkara berkenaan akan dilaksanakan menerusi kerjasama MCMC dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kerjasama antara agensi berkaitan itu penting bagi memastikan kepentingan semua pihak dalam ekosistem perniagaan tempatan diberikan perhatian sewajarnya.-SAHIH
#kw: Fahmi Fadzil, E-Dagang, Peniaga Tempatan, MCMC
