KUSKOP mahu lebih dana, kos perniagaan PKS dikurangkan
KUSKOP mahu lebih dana, kos perniagaan PKS dikurangkan
KUALA LUMPUR: Usaha melahirkan sekurang-kurangnya 100 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mampu menjana pendapatan tahunan RM100 juta menjadi antara sasaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkukuh sektor keusahawanan negara.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian turut mengemukakan tiga keutamaan utama untuk diberikan perhatian dalam Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan hari ini.
Menurutnya, keutamaan itu merangkumi peningkatan peruntukan kewangan dan sumber kepada PKS, pengurangan kos menjalankan perniagaan serta penambahbaikan kecekapan penyaluran bantuan kerajaan.
“Kami sudah mengemukakan senarai panjang agenda yang memerlukan pandangan semua pihak.
“Namun, secara ringkasnya, tiga perkara utama yang diharapkan dalam belanjawan ini ialah lebih banyak dana dan sumber untuk PKS, kos menjalankan perniagaan lebih rendah serta peningkatan kecekapan bantuan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Industri Kecil dan Sederhana (SMI) 2026 anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), di sini, semalam.
Steven Sim berkata, perincian berhubung keutamaan berkenaan akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Katanya, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama yang disasarkan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
Inisiatif berkenaan membabitkan semakan semula definisi PKS, pelarasan ambang cukai korporat, penyediaan bantuan perniagaan secara praktikal serta pengukuhan perlindungan terhadap masalah kelewatan pembayaran.
Sementara itu, Presiden FMM, Jacob Lee menggesa kerajaan memperkenalkan agenda pertumbuhan baharu bagi membantu syarikat tempatan berkembang menjadi perusahaan bersaiz sederhana dan peneraju industri negara.
Beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada usaha meningkatkan daya saing serta memperluas pasaran PKS supaya syarikat berkenaan mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, FMM mencadangkan ambang kelayakan PKS sektor pembuatan dinaikkan kepada perolehan tahunan RM100 juta dan 300 pekerja.
Jacob turut menggesa supaya ambang cukai korporat dikaji semula agar dasar berkaitan lebih selaras dengan realiti semasa perniagaan.-SAHIH
#kw: KUSKOP, Steven Sim, Belanjawan 2027, PKS
