MANSUR & LIU BUKTI SENI TEMPATAN MAMPU SETANDING PRODUKSI DUNIA
MANSUR & LIU BUKTI SENI TEMPATAN MAMPU SETANDING PRODUKSI DUNIA
KUALA LUMPUR – Pementasan Teater Muzikal Mansur & Liu membuktikan industri seni tempatan kini berada pada tahap membanggakan dan berupaya berdiri sebaris dengan produksi antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mutu pementasan berkenaan memperlihatkan perkembangan positif industri seni negara selain menjadi antara persembahan tempatan terbaik pernah disaksikannya.
“Saya rasa ia antara pementasan terbaik yang saya lihat dalam negara dan agak boleh setanding dengan beberapa tempat lain di dunia.
“Dan malam ini kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke satu taraf yang boleh dibanggakan,” katanya selepas menyaksikan pementasan itu di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini.
Menurut Anwar, perkembangan berkenaan turut menunjukkan pemerkasaan budaya perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.
Katanya, industri seni tempatan juga memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan serta sektor swasta termasuk dari segi kemudahan bagi membolehkan lebih banyak karya berkualiti diketengahkan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pengarah teater berkenaan, Datuk M. Nasir serta semua pihak yang terbabit dalam menjayakan pementasan itu.
Anwar menerusi perkongsian di media sosial turut menyifatkan karya berkenaan sebagai gambaran hubungan diplomasi, budaya dan sejarah antara Kesultanan Melaka dengan Dinasti Ming.
Teater Muzikal Mansur & Liu mengisahkan pertemuan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Liu dari Dinasti Ming berdasarkan kisah yang terakam dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Pementasan arahan M. Nasir itu berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Anwar Ibrahim, Mansur & Liu, M Nasir, Istana Budaya
