Zahid RM1 juta, Akmal RM500,000 bantu bayar denda Najib – sumber
Zahid RM1 juta, Akmal RM500,000 bantu bayar denda Najib – sumber
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyumbang RM1 juta daripada wang peribadinya bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda yang dikenakan sebagai syarat pengampunan bersyarat.
Menurut sumber, sumbangan Ahmad Zahid itu dipercayai antara jumlah terbesar diberikan secara individu setakat ini, selain sebagai tanda solidariti terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan.
Sumber sama mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut menyumbang RM500,000 bagi tujuan sama.
“Mereka pemimpin UMNO berjiwa besar, sanggup korbankan wang ringgit demi Bossku ditahan di rumah,” kata sumber berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Ahmad Zahid atau Muhamad Akmal yang mengesahkan jumlah sumbangan peribadi masing-masing.
UMNO sebelum ini mengumumkan pelancaran kutipan dana secara sukarela dalam kalangan kepemimpinan, ahli, penyokong parti serta orang ramai bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta. Ahmad Zahid berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi undang-undang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Sabtu memaklumkan Tabung Solidariti Najib Razak sudah mengumpul RM1 juta setakat jam 9.30 pagi, sehari selepas kutipan dilancarkan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta.-SAHIH
#kw Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Muhamad Akmal Saleh, Tabung Solidariti
