KPWKM mahu rancakkan program kesuburan dalam Belanjawan 2027
KPWKM mahu rancakkan program kesuburan dalam Belanjawan 2027
Kuching: Usaha menangani penurunan kadar kelahiran negara bakal menjadi antara tumpuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Belanjawan 2027 menerusi pengukuhan program kesuburan di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan bagi merancakkan program itu penting terutama di negeri yang memerlukan perhatian khusus seperti Sarawak dan Pulau Pinang.
Menurutnya, program berkaitan sebenarnya sudah dilaksanakan menerusi LPPKN, namun kementerian mahu memberi tumpuan lebih besar tahun depan termasuk menggalakkan penyertaan golongan muda.
“Sebenarnya kita sudah pun melaksanakannya menerusi LPPKN, cuma kita mahu memberi tumpuan untuk tahun depan supaya dapat menggalakkan lebih ramai lagi, terutama dalam kalangan orang muda.
“Kita sedar ada yang mengatakan ia bukan masalah kesuburan sahaja, tetapi turut membabitkan masalah ekonomi.
“Namun, masalah ekonomi akan diambil kira kerajaan melalui kementerian lain. Bagi KPWKM, tumpuan lebih kepada program yang boleh menggalakkan mereka untuk melahirkan anak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program PERANTIS-PENDAYA 2.0: Memperkasakan Usahawan Wanita Dayak untuk Kepimpinan, Skala dan Kelestarian, di sini.
Ditanya mengenai kajian kadar kesuburan negara, Nancy berkata, perincian dan dapatan kajian itu akan dibentangkan secara khusus ketika pembukaan bangunan baharu LPPKN di Kuching kelak.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, seramai 400 peserta menyertai program PERANTIS di Sarawak tahun ini dengan 11 orang dipilih sebagai perantis untuk menerima bimbingan secara langsung.
Program kerjasama KPWKM bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) serta Persatuan Rangkaian Pemberdayaan Wanita dan Kelestarian (WESNA) Kuching itu memberi tumpuan kepada pemerkasaan usahawan wanita Dayak menerusi Pelan Tindakan 90 Hari dan pengukuhan strategi perniagaan moden.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Belanjawan 2027, LPPKN, kesuburan, Nancy Shukri
