MALAYSIA TUNGGU KEPUTUSAN PBB SEBELUM HANTAR MALBATT KE YEMEN
MALAYSIA TUNGGU KEPUTUSAN PBB SEBELUM HANTAR MALBATT KE YEMEN
KOTA TINGGI – Malaysia tidak akan menghantar Pasukan Pengaman Malaysia Batalion (MALBATT) ke Yemen secara bersendirian, sebaliknya sebarang keputusan mengenainya perlu berpandukan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penghantaran pasukan pengaman bukan keputusan yang boleh dibuat secara unilateral terutama ketika konflik dan peperangan masih berlaku di negara berkenaan.
“Apa-apa pun keputusan Malaysia, kita berpandukan kepada keputusan yang akan dibuat oleh pihak PBB, bukannya kita lakukan secara tersendiri.
“Jadi, kena PBB, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang buat keputusan sama ada nak hantar pasukan pengaman atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, di sini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pasukan pengaman lazimnya ditempatkan apabila pihak yang berkonflik mencapai persetujuan perdamaian dengan kehadiran anggota terbabit bagi memastikan syarat dipersetujui dipatuhi.
Katanya, antara contoh penugasan itu ialah pasukan pengaman di Lubnan yang berperanan memastikan syarat perdamaian dihormati pihak berkaitan.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi di Yemen ketika ini berbeza kerana peperangan masih berlangsung dan penghantaran pasukan ke tengah-tengah konflik boleh mendedahkan anggota kepada risiko kehilangan nyawa.
“PBB tak pernah hantar mana-mana pasukan untuk terlibat dalam perang.
“Yang ini (di Yemen) sedang perang. Kalau masuk tengah-tengah semasa peperangan, akan ada korban jiwa dan raga,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, tidak timbul soal Malaysia menghantar pasukan secara bersendirian ke Yemen dan sebarang tindakan hanya akan dipertimbangkan berdasarkan keputusan PBB.
Konflik di Yemen kembali memuncak sejak awal September dengan pertempuran di sepanjang pantai barat negara itu, menyebabkan lebih 100,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw MALBATT, Yemen, Mohamed Khaled Nordin, PBB
