DINAMIKA POLITIK NEGERI BUKA RUANG PELBAGAI PENJAJARAN – FAHMI
DINAMIKA POLITIK NEGERI BUKA RUANG PELBAGAI PENJAJARAN – FAHMI
KUALA PILAH – Landskap politik yang berbeza antara negeri membuka kemungkinan berlakunya pelbagai bentuk penjajaran politik mengikut dinamika dan keunikan setempat.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan politik semasa tidak boleh dilihat menggunakan satu acuan sama kerana setiap negeri mempunyai keadaan politik tersendiri.
“Kerana kita tahu bahawa setiap negeri mempunyai keunikan politik masing-masing. Jadi tak mustahil dinamika itu juga menjelma bagi pihak Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi 2025 di Surau Kampung Tebat Kering, di sini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, PH sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang mewakili kerajaan dalam Lembaga Pengampunan serta Perdana Menteri turut memberikan penjelasan.
“Keputusan untuk memberi pengampunan bersyarat itu adalah keputusan Tuanku,” katanya.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Jabatan Penjara Malaysia pada 20 September memaklumkan pelaksanaan keputusan berkenaan masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis melalui saluran ditetapkan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Fahmi Fadzil, Pakatan Harapan, Najib Razak, pengampunan bersyarat
