KELADI KEMAHANG ANTARA YANG SEDAP DIMAKAN, INI CARA ORANG PAHANG
KELADI KEMAHANG ANTARA YANG SEDAP DIMAKAN, INI CARA ORANG PAHANG
KELADI kemahang atau nama saintifiknya colocasia esculenta merupakan sejenis tumbuhan ubi jenis keladi daripada keluarga araceae yang lazimnya tumbuh liar di kawasan agak lembap dan subur.
Tumbuhan ini banyak didapati di Pahang khususnya di laluan Benta-Jerantut iaitu di Kampung Kemahang, Benta.
Menurut cerita orang dahulu kala, nama Kampung Kemahang diperoleh kerana kewujudan keladi itu yang banyak tumbuh meliar di kawasan tersebut.
Bagi orang Pahang, jika sebut keladi kemahang, semua tahu dan tumbuhan ini begitu sinonim dengan masakan gulai masam tempoyak.
Cara mengambil dan memasak keladi kemahang ini banyak pantang larangnya antaranya :
- Tidak boleh boleh bertindih bayang semasa mengambilnya.
- Perdunya dicabut terus daripada tempatnya.
- Cara mengambilnya juga hanya satu haluan dan tidak boleh berpatah balik.
- Elakan mengambil keladi kemahang yang berbunga sebab biasanya ia gatal.
- Pilih yang muda sahaja.
- Keladi kemahang tidak boleh digoreng.
Punca keladi ini gatal boleh dikatakan keladi yang tumbuh bukan dikawasan yang sesuai. Amat diyakini keladi kemahang yang tumbuh di Kampung kemahang, Benta dan sebelah Ulu Cheka, Jerantut tidak gatal.
Namun punca ia gatal masih tidak diketahui hingga kini. Mungkin keladi kemahang tidak diperolehi dikawasan yang disyorkan dan teknik memasaknya juga memainkan perananya.
Petua untuk memasak keladi kemahang
Untuk mengelakkan daripada rasa gatal anda boleh meletakkan satu sudu kecil minyak masak atau beberapa ulas beras. Selain itu, nak kurangkan rasa gatal, petuanya adalah batang keladi kemahang direbus (celur) sekejap sahaja. Kemudian ditos airnya atau rendam dengan air bergaram sebelum dimasak.
Cara masak keladi ini sangatlah mudah selepas dicampurkan bahan asas seperti tempoyak lada dan kunyit, kacau sesekali saja. Biarkan meruap, lalu diletakan keladi kemahang tersebut.
Masa diatas dapur jangan kerap mengacau sekadar dibalik-balikkan keladi cara pelahan. Sebab boleh tukar menjadi gatal sekali gus menjejaskan rasa masakan tersebut selain keladi tersebut boleh menjadi hancur.
Untuk rampaian gulai keladi kemahang ini agar lebih menarik dan sedap bolehlah anda meletakkan bunga kantan, terung pipit @ terung manggor , petai atau jering semai. Selamat mencuba.-SAHIH