BENTONG – Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam meneruskan jadual kempen dengan menyantuni penduduk di sekitar Kampung Hayat, dekat sini.
Bermula dengan sarapan dengan penduduk di situ, Amizar seterusnya mengunjungi pengundi warga emas yang uzur di kampung berkenaan.
“Saya meluangkan masa sejak pagi di Kampung Hayat bertemu dengan penduduk dan golongan warga emas.
“Selain dapat meronda dengan motosikal dan singgah di rumah penduduk, ada kejutan turut menunggu saya.
“Rupanya ramai penduduk kampung itu mengikuti jadual kempen dan ada juga yang mengikuti laman sosial Facebook dan TikTok saya.
“Ada antaranya memberitahu saya, mereka suka tengok video yang saya paparkan di laman sosial,” katanya.
Amizar turut berkongsi gambar dia mengunjungi penduduk yang sakit terlantar sambil mendoakan agar mereka diberi kesembuhan seperti sedia kala.
“Seronok dapat bertemu lebih dekat dengan penduduk di sini.
“Inilah keluarga ‘Pelangai Kita’ dan pelbagai topik kami bualkan bersama,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Kempen calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sudah meliputi kira-kira 55 peratus pengundi di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau akan mempertingkatkan usaha untuk menyantuni semua pengundi khususnya golongan muda, berbaki seminggu lagi tempoh kempen.
Menurutnya, penerimaan masyarakat terhadap beliau amat positif memandangkan kawasan itu secara tradisi adalah kubu kuat BN.
“Kita ada beberapa lagi segmen masyarakat (yang perlu disantuni). Maksudnya masih ada lagi kawasan yang saya belum masuk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat berkata sokongan masyarakat terhadap PN lebih baik berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Penerimaaan setakat ini semua okey. Masyarakat Cina, India dan Orang Asli pun mula menerima kedatangan kami,” katanya yang pernah bertanding di kerusi DUN itu pada PRU15.
PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.
Pada PRU15, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim, Ahmed Wafiuddin (Pakatan Harapan) dan calon Pejuang, Isa Ahmad.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Program ziarah kasih yang sudah sebati dengan Wanita UMNO, diteruskan di sekitar FELDA Kemasul, dekat sini.
Pendekatan itu diadakan oleh Wanita UMNO Jerantut yang menjadikan FELDA Kemasul sebagai kampung angkat mereka sepanjang PRK Pelangai.
Turut menyertai program itu adalah ahli majlis tertinggi UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
“Kaedah ini lebih berkesan untuk menyelami hati penduduk dan mereka yang menghidap sakit kronik.
“Jadi, ia adalah pendekatan yang kita ambil dalam pusingan kedua kempen PRK Pelangai.
“Selain menziarahi mereka, kita juga dapat mendengar apa harapan penduduk dengan pembangunan di sini,” katanya ketika menyertai Wanita UMNO Jerantut melakukan ziarah kasih di kawasan FELDA itu.
Dalam masa sama, penduduk ditemui mengakui kaedah melakukan ziarah dari rumah ke rumah adalah cara paling berkesan untuk mendekati pengundi.
Penduduk Mohd Arshad Hashim, 70, yang menghidap penyakit saraf berkata, keprihatinan ditunjukkan Wanita UMNO melalui program ziarah kasih sangat dihargai penduduk.
“Saya pun dah 40 tahun di sini dan melihat banyak perubahan dilakukan.
“Kita harap ia dapat diteruskan selepas PRK pada 7 Oktober ini,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sokongan pengundi Cina, India kekal bersama calon BN
BENTONG – Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yakin akan mendapat sokongan penuh pengundi Cina dan India di Pelangai pada hari pengundian 7 Oktober nanti.
Beliau berkata, setakat ini respon yang ditunjukkan oleh pengundi Cina dan India masih setia bersama BN.
“Penerimaan di kawasan kaum India dan alhamdulillah penerimaan sangat baik dan mereka teruja menerima kehadiran (kita).
“…(Masyarakat Cina) mereka ini sangat-sangat teruja penerimaan kehadiran kita terhadap mereka dan mereka menyatakan sokongan 100 peratus kepada calon BN.
“Itu (sokongan) adalah satu perkara yang sangat baik,” katanya ketika ditemui ketika berkempen bersama masyarakat India di Sungai Gapoi, Bentong dekat sini, hari ini.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.
Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Sementara itu, Amizar berkata kempennya pada PRK DUN Pelangai ini memberi tumpuan kepada 3P iaitu pendidikan, perumahan dan pekerjaan.
Katanya 3P ini merupakan perkara asas kepada kesejahteraan masyarakat.
Mengulas mengenai peringatan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya jentera BN jangan leka.
Amizar berkata dalam setiap pilihan raya semestinya jentera perlu berwaspada dengan setiap taktikal pihak lawan.
“Setiap pilihan raya kita tak tahu apa serangan-serangan yang berlaku…(jentera) mesti siap siaga 24 jam, sebab kita tak tahu apa yang berlaku. Strategi masing-masing,” katanya lagi.
Selain itu Amizar berkata beliau akan melancarkan manifestonya dalam masa terdekat.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kerajaan Pahang cari jalan selesai segera isu ketiadaan lampu jalan
BENTONG – Kerajaan Pahang akan memberi perhatian khusus bagi menyelesaikan segera isu ketiadaan lampu jalan di kawasan FELDA sekitar Pelangai.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan itu selepas menerima aduan daripada penduduk yang ditemui di kawasan terbabit.
“Masalah ketiadaan lampu jalan adalah antara yang disuarakan penduduk, terutamanya di jalan utama FELDA Kemahal hingga FELDA Kemasul.
“Jadi, perkara ini akan diberi perhatian dan kerajaan Pahang akan cuba mempercepatkan kemudahan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pertemuan penduduk bersama calon BN, Datuk Amizar Abu Adam di dataran Dayabudi, Kuarters Kilang FELDA Kemasul.
Katanya, beberapa masalah dibangkitkan penduduk di Pelangai sudah diselesaikan kerajaan Pahang selepas menerima aduan.
“Sepanjang saya berada di sini, banyak masalah kita selesaikan dan ini adalah bertujuan yang kita rasa dalam masa pendek yang tidak memerlukan peruntukan besar, banyak kita telah selesaikan.
“Begitu juga di tempat lain dan ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang (gateway) ke Pahang adalah antara impian calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, untuk meningkatkan taraf sosioeknonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata, ini kerana Pelangai mempunyai potensi yang luas, untuk dipromosikan sebagai sebuah pusat agropelancongan dan tempat hentian bagi mereka yang melalui kawasan itu, untuk ke pantai timur atau selatan tanah air.
“Sepanjang perjalanan dari Karak masuk ke Pelangai memang ada pelbagai produk… kita di sini ada durian Telemong.
“Orang kata durian dari Raub yang sedap, tetapi kalau cuba makan percayalah durian Telemong lagi power.
“Kita juga ada banyak inap desa dan ladang-ladang cantik yang ada pemandangan cantik, boleh healing… waktu pagi kawasan ini sangat sejuk, memang nyaman.
Amizar berkata, idea menjadikan Pelangai sebagai pintu gerbang ke Pahang, tercetus hasil perbincangannya dengan penyandang DUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, tidak lama sebelum nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas yang mengorbankan Johari.
“Arwah dah bagi satu pelan tindakan yang jelas… bagi dia Pelangai ini ialah pintu masuk dan keluar ke beberapa negeri.
“Jadi saya nak tambah nilai daripada itu. Pelangai Gateway merupakan impian saya.
“Kita mesti ada satu benda yang istimewa untuk bawa masuk orang datang ke Pelangai,” kata Amizar.
Beliau berkata, sekiranya idea itu dapat dilaksanakan, ia juga akan mengalakkan pembangunan infrastruktur di sini.
Amizar berkata, ‘Pelangai Gateway’ akan menjadi satu ‘jenama’ yang besar, yang juga berpotensi memberi suntikan kepada ekonomi setempat, hasil aktiviti jual beli atau penyediaan perkhidmatan oleh masyarakat tempatan.
“Ia juga boleh memberikan pulangan pelaburan kepada orang yang melabur, kerana kita ada satu daya tarikan untuk orang datang berbelanja di sini… Insya-Allah satu hari nanti, mungkin dua hingga lima tahun lagi, akan berlaku banyak perubahan di Pelangai ini,” katanya.
Pelangai mendapat jolokan ‘penghujung Pahang’ kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri Sembilan di barat Pahang.
PRK yang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, menyaksikan Amizar berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Wakil rakyat perlu selesai isu lampu jalan FELDA Kemasul
BENTONG – Penduduk di FELDA Kemasul, dekat Pelangai berharap wakil rakyat dipilih pada 7 Oktober ini dapat menyelesaikan masalah lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan tanah rancangan itu.
Menurut penduduk, laluan itu menjadi jalan utama penduduk, termasuk pelajar yang menghadiri kelas tuisyen pada sebelah malam.
Difahamkan laluan itu sepanjang 11 kilometer dan tidak mempunyai lampu jalan sejak sekian lama.
Seorang penduduk, Mohd Khairy Mohd Rejab berharap perkara berkenaan menjadi fokus utama wakil rakyat jika menang dalam pilihan raya kecil (PRK) awal bulan depan.
“Jalan di sini memang gelap dan sangat perlukan lampu jalan.
“Bahaya kepada pelajar yang keluar untuk menghadiri tuisyen dan juga penduduk yang menggunakan jalan itu untuk membeli barangan keperluan pada waktu malam,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Naim Samsuddin turut berharap perkara itu menjadi keutamaan calon bertanding dalam PRK kali ini.
“Ini laluan utama untuk kami dari Kemasul menghala ke pekan Triang atau ke Simpang Pelangai.
“Kalau boleh pasang lampu jalan, mudahlah sikit, yang penting keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di sini.
“Saya harap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat mengambil perhatian terhadap keperluan kami,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PRK Pelangai untuk pilih wakil rakyat bawa suara peneroka FELDA
BENTONG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai sangat penting untuk memastikan suara peneroka FELDA di kawasan itu terus mendapat perhatian.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, PRK itu tidak akan mengubah struktur kerajaan Pahang sekarang yang diketuai gabungan BN-PH.
“Walaupun keputusan untuk PRK Pelangai tidak menjejaskan kerajaan Pahang, namun ia tetap penting kerana wakil rakyat yang dipilih akan membawa suara generasi pertama dan kedua FELDA di kawasan ini.
“Jadi, kita mahu memastikan kerusi Pelangai dimenangi calon BN, Datuk Amizar Abu Adam supaya segala usaha membantu warga peneroka dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Sembang Santai FELDA bersama warga FELDA Kemasul di sini.
Program dihadiri Amizar dan pimpinan UMNO negeri Pahang.
Pada program sama, bacaan Yasin diadakan bagi mengenang jasa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Agenda pembangunan lebih mudah jika BN menang di Pelangai
BENTONG – Proses pembangunan di kawasan Pelangai lebih mudah dilaksanakan secara tersusun jika pengundi di situ memilih calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kerajaan Pahang dan kerajaan Persekutuan adalah dari blok sama – Kerajaan Perpaduan.
“Dalam hal ini, pengundi perlu bijak memilih kerana pembangkang tidak mampu untuk meneruskan pembangunan.
“Mereka (pembangkang) berlainan kerajaan dan sudah pasti ia menyulitkan dari segi dana dan kos perbelanjaan.
“Jadi, pengundi perlu melihat perkara ini sebagai antara faktor penting jika ingin memastikan segala perancangan di Pelangai dapat diteruskan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika menyantuni pengunjung dan peniaga pasar tani FELDA Chemomoi, hari ini.
Turut bersama beliau adalah calon BN untuk PRK Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menasihatkan semua jentera BN di Pelangai untuk terus bekerja keras bagi memastikan kerusi itu kekal milik UMNO-BN.
Katanya, kemenangan di Pelangai akan menjadi penanda aras penting dan hadiah kepada penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Johari meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Warga FELDA akan terus menikmati semua bentuk bantuan jika memilih untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
Itu jaminan calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Beliau berkata, warga FELDA terlalu dekat dengannya dan menjadi tanggungjawab untuk beliau terus menjaga kebajikan mereka.
“Lagipun saya juga asalnya dari FELDA dan memang FELDA itu sangat dekat dengan hati saya.
“Saya juga sudah lama terbabit dalam aktiviti berkaitan FELDA melalui NGO Kami Anak FELDA (KAF).
“Susah senang warga peneroka saya dapat rasai dan saya bertekad untuk terus memperjuangkan nasib warga FELDA jika diberi kepercayaan pada 7 Oktober ini,” katanya.
Amizar berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan pengunjung Pasar Sehari di FELDA Chemomoi, dekat sini, hari ini.
Beliau turut meminta pengundi menjadikan prestasi kerajaan Pahang diterajui Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai kayu ukur untuk membuat keputusan pada hari pengundian nanti.
Katanya, banyak pencapaian diperoleh kerajaan negeri hasil kebijaksanaan Wan Rosdy sejak memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang.
“Pelbagai inisiatif dan bantuan disalurkan kepada rakyat dan ini semua dapat dilakukan apabila kerajaan negeri diuruskan dengan cemerlang oleh Datuk Seri Wan Rosdy.
“Saya harap semua ini dinilai oleh pengundi di Pelangai ketika membuat keputusan pada hari pengundian nanti,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!