Kerajaan akan mansuh AUKU, beri kebebasan lebih luas kepada mahasiswa
Kerajaan akan mansuh AUKU, beri kebebasan lebih luas kepada mahasiswa
MELAKA: Kerajaan mengumumkan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi ruang kebebasan dan demokrasi yang lebih luas kepada mahasiswa di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti memorandum serta pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahu perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan usaha memperkukuhkan agenda reformasi pendidikan tinggi serta memperluaskan penglibatan mahasiswa dalam proses demokrasi negara.
“Hari ini saya umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, semalam.
Anwar berkata, walaupun beberapa pindaan terhadap AUKU telah dilaksanakan sebelum ini bagi membolehkan mahasiswa terlibat lebih aktif dalam pelbagai aktiviti, ruang kebebasan yang diberikan perlu diperkasakan sepenuhnya.
Menurutnya, mahasiswa perlu diberikan peluang yang lebih luas untuk menyuarakan pandangan, terlibat dalam perbahasan intelektual dan memainkan peranan sebagai kelompok pemikir yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau berkata, pemansuhan AUKU merupakan sebahagian daripada reformasi pendidikan yang akan diteruskan kerajaan selepas kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi negara semakin kukuh.
Katanya, kerajaan komited memastikan institusi pengajian tinggi menjadi medan yang subur untuk perkembangan idea, pemikiran kritis serta budaya demokrasi yang sihat.
“Mahasiswa perlu diberikan keyakinan dan kebebasan untuk berfikir serta menyumbang pandangan secara bertanggungjawab demi kemajuan negara,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan meneliti mekanisme terbaik bagi memastikan proses pemansuhan akta berkenaan dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan fungsi dan pentadbiran institusi pengajian tinggi.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkasa mahasiswa adalah penting dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan yang berwibawa, berintegriti dan mempunyai daya fikir yang kritis.-SAHIH
Sumber: BERNAMA
#kw
#AnwarIbrahim #AUKU #Mahasiswa #PendidikanTinggi #KongresNasionalPKR2026 #Melaka #ReformasiPendidikan #DemokrasiKampus #PolitikMalaysia #Universiti
