Komunikasi kerajaan perlu lebih dekat, sentuh hati rakyat – Fahmi
Komunikasi kerajaan perlu lebih dekat, sentuh hati rakyat – Fahmi
Kuala Lumpur: Komunikasi kerajaan berkaitan dasar dan pencapaian akan terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan bukan sahaja difahami rakyat, malah kesannya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang kelemahan dalam penyampaian komunikasi dan penerangan perlu diperbaiki supaya pencapaian kerajaan, khususnya dalam aspek makroekonomi, dapat diterjemahkan kepada perkara yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat.
Menurutnya, banyak kejayaan dasar yang dibawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pasukannya masih belum difahami sepenuhnya oleh sebahagian masyarakat.
“Ramai merasakan banyak kejayaan dasar kerajaan yang dibawa oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga pasukan, kurang dinikmati serta difahami oleh rakyat yang terbanyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan mewakili Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pendekatan komunikasi kerajaan perlu mengambil kira aspek emosi rakyat supaya setiap pencapaian yang diraih bukan sekadar diketahui, malah dapat dirasai dan seterusnya mendapat tempat di hati masyarakat.
Katanya, penerangan mengenai kejayaan ekonomi negara tidak boleh hanya tertumpu kepada angka dan statistik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami serta mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan harian rakyat.
Dalam usaha memperkasakan jentera penerangan parti dan kerajaan, beliau berkata PKR akan memperkukuhkan kerjasama dengan pimpinan akar umbi termasuk ketua cabang bagi memastikan rantaian maklumat dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada masyarakat.
“Peranan pimpinan di peringkat akar umbi amat penting kerana mereka menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat serta lebih memahami isu yang dihadapi masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siri ceramah dalam kelompok yang lebih kecil akan diperluaskan kerana pendekatan itu membolehkan penerangan mengenai sesuatu isu disampaikan dalam suasana lebih santai dan berkesan.
Menurutnya, kaedah itu juga memberi ruang kepada rakyat untuk berinteraksi secara langsung, sekali gus membantu kerajaan memahami keperluan serta harapan masyarakat dengan lebih dekat.
#kw Fahmi Fadzil, PKR, Kongres Nasional PKR 2026, komunikasi kerajaan, Anwar Ibrahim, penerangan kerajaan, ekonomi rakyat, MPP PKR.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw #Fahmi Fadzil, #PKR, #Kongres Nasional #PKR 2026, #komunikasi kerajaan, #Anwar Ibrahim, #penerangan #kerajaan, #ekonomi rakyat, #MPP PKR.
