Bekas anggota PPH abadikan perjuangan menentang komunis menerusi kartun
Kota Bharu: Pengalaman hampir lapan tahun meredah belantara dan menyertai operasi memburu komunis menjadi sumber inspirasi utama seorang bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) menghasilkan ratusan karya kartun yang merakam sejarah perjuangan pasukan keselamatan negara.
Rosidi Semail, 79, atau lebih dikenali sebagai Rossem, berkata pengalamannya menyertai pasukan keselamatan sejak 1969 diterjemahkan menerusi lukisan yang mengetengahkan kisah sebenar perjuangan anggota keselamatan menentang ancaman komunis ketika era darurat.
Menurutnya, setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar lukisan biasa, sebaliknya mengandungi mesej sejarah yang boleh dijadikan rujukan kepada generasi muda untuk memahami pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan keamanan negara.
“Sebagai anggota yang terlibat secara langsung dalam operasi menentang komunis, saya banyak melukis peristiwa dan pengalaman sebenar yang berlaku ketika bertugas di lapangan.
“Lukisan ini menceritakan bagaimana anggota keselamatan berdepan ancaman Pasukan Komunis Malaya (PKM) serta usaha mereka membanteras kegiatan yang mengganggu keamanan dan keselamatan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Balai Kartun Rossem di sini.
Rossem berkata, kebanyakan karya yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri serta peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama pasukan keselamatan.
Katanya, sehingga kini lebih 700 karya pelbagai tema menghiasi koleksi Balai Kartun Rossem yang menjadi antara tarikan unik kepada pengunjung yang ingin mengenali sejarah negara menerusi karya visual.

“Selain tema kemerdekaan dan perjuangan pasukan keselamatan, saya turut menghasilkan karya berkaitan sejarah negara, kebudayaan masyarakat serta potret dan karikatur Perdana Menteri Malaysia sejak era Tunku Abdul Rahman.
“Saya mahu generasi hari ini mengenali sejarah negara melalui pendekatan yang lebih santai dan mudah difahami,” katanya.
Menurutnya, karya visual bukan sekadar medium hiburan, malah berfungsi sebagai catatan zaman yang mampu merakam kehidupan masyarakat serta peristiwa penting untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, setiap lakaran yang dihasilkan menjadi penghubung antara generasi terdahulu yang melalui sejarah itu dengan generasi masa kini yang mengenalinya menerusi buku, media dan teknologi digital.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw #Rossem, #Rosidi Semail, #Balai #Kartun Rossem, #Kota Bharu, #Pasukan #Polis Hutan, #Pasukan Gerakan Am, #komunis, #PKM, #kemerdekaan, #sejarah negara.
