ANGKASA, MAHSA Group jalin kerjasama perkasa pendidikan dan modal insan
ANGKASA, MAHSA Group jalin kerjasama perkasa pendidikan dan modal insan
Kelana Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan MAHSA Group meneroka peluang kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan serta modal insan yang memberi manfaat kepada warga koperasi dan masyarakat.
Perbincangan mengenai kerjasama itu berlangsung dalam satu sesi pertemuan di Ibu Pejabat ANGKASA di sini semalam, yang menghimpunkan kepimpinan kedua-dua organisasi bagi meneliti potensi kolaborasi jangka panjang.
Delegasi MAHSA Group diketuai Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Datuk Prof. Dr. Hj. Mohamed Haniffa, manakala ANGKASA diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Hj Nasaruddin Othman dan Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Hj. Ahmad.
Pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada penerokaan pelbagai peluang kerjasama strategik antara Yayasan ANGKASA dan MAHSA Group, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan serta pelaksanaan program yang mampu memberi nilai tambah kepada gerakan koperasi negara.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada anggota koperasi, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta pelaksanaan inisiatif yang dapat meningkatkan keupayaan modal insan dalam sektor koperasi.
Kerjasama berpotensi itu juga dilihat mampu membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan, pembangunan profesional dan aktiviti komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada anggota koperasi serta generasi muda.
Abdul Fattah berkata, ANGKASA sentiasa komited untuk menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan dan organisasi yang mempunyai kepakaran bagi memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara.
Menurutnya, sinergi antara ANGKASA dan MAHSA Group mampu mewujudkan lebih banyak peluang kepada warga koperasi untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, kerjasama yang dirancang itu diharap dapat diterjemahkan menerusi pelbagai program dan inisiatif bersama yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Usaha ini selari dengan komitmen ANGKASA untuk memperkasakan pembangunan pendidikan dan modal insan dalam ekosistem gerakan koperasi negara, sekali gus menyokong agenda pembangunan sosioekonomi yang lebih mampan,” katanya.
Pertemuan itu menjadi langkah awal ke arah pembentukan kerjasama lebih kukuh antara kedua-dua pihak demi manfaat jangka panjang kepada sektor koperasi dan masyarakaht keseluruhannya.-SAHIH
