ANGKASA, ICC perkukuh kerjasama angkat suara koperasi Asia Pasifik
ANGKASA, ICC perkukuh kerjasama angkat suara koperasi Asia Pasifik
Kuala Lumpur: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Iran Chamber of Cooperatives (ICC) bersetuju memperkukuh hubungan serta menyelaras usaha bagi memperkasakan suara gerakan koperasi Asia Pasifik di peringkat global.
Persetujuan itu dicapai menerusi perbincangan secara dalam talian antara Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dengan Presiden ICC, Mr. Bahman Abdollahi pada 17 Ogos lalu.
Abdul Fattah berkata, hubungan erat yang terjalin sekian lama antara ANGKASA dan gerakan koperasi Iran menjadi asas penting dalam meneroka peluang kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, Iran merupakan antara rakan strategik yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan ANGKASA, khususnya melalui platform ICA-AP.
“Hubungan baik yang dibina sejak sekian lama ini membolehkan kita memperluaskan jaringan kerjasama serta mengukuhkan peranan gerakan koperasi di peringkat antarabangsa.
“Pada masa sama, penyelarasan dalam kalangan anggota ICA-AP amat penting bagi membentuk suara Asia Pasifik yang lebih bersatu dalam memperjuangkan kepentingan serta keutamaan gerakan koperasi di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Iran mampu membuka ruang kepada pelbagai inisiatif baharu termasuk perkongsian pengalaman, pertukaran kepakaran serta pembangunan kapasiti anggota koperasi.
Perbincangan itu turut merangkumi pertukaran pandangan mengenai usaha menyelaras sokongan dalam kalangan anggota ICA-AP selain meneroka bentuk kerjasama masa depan yang boleh dilaksanakan antara gerakan koperasi kedua-dua negara.
Abdul Fattah berkata, pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan yang berasaskan rasa saling menghormati, kepercayaan serta solidariti yang kukuh antara ANGKASA dan ICC.
Beliau berharap hubungan dan koordinasi yang terjalin dapat diteruskan melalui penglibatan aktif serta sokongan berterusan kedua-dua pihak demi memperkukuh kedudukan gerakan koperasi serantau.
Turut menyertai perbincangan itu ialah Pengurus Seksyen Perhubungan Antarabangsa, Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Puan Noor Azlinn Zahariman.-SAHIH
#kw #ANGKASA #ICC #IranChamberOfCooperatives #AbdulFattahAbdullah #Koperasi #ICAAP #Malaysia #Iran #GerakanKoperasi #KerjasamaAntarabangsa
