Jejak Perwira Merdeka semarak patriotisme, hargai jasa pejuang negara
Jejak Perwira Merdeka semarak patriotisme, hargai jasa pejuang negara
Kuala Langat: Kira-kira 350 penunggang motosikal berkuasa tinggi bersama 40 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai Program Jejak Perwira Merdeka Bukit Kepong yang dianjurkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan menghargai jasa perwira negara.
Program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat itu turut bertujuan memperkukuh hubungan antara pasukan polis dan komuniti permotoran melalui aktiviti yang menggabungkan elemen sejarah, perpaduan serta keselamatan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, program berkenaan memberi peluang kepada peserta menghayati erti sebenar kemerdekaan dengan menelusuri lokasi bersejarah yang menjadi lambang perjuangan anggota keselamatan negara.

“Daripada kita punya pelancaran program ini, untuk kita mendekatkan diri kepada erti kemerdekaan sebenar. Kita mengenang perjuangan orang terdahulu untuk generasi seterusnya. Sebab itu kami terpanggil untuk buat program ini,” katanya.
Konvoi bermula dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat sebelum bergerak secara berkumpulan menuju ke Bukit Kepong, Johor yang terkenal dengan sejarah perjuangan pasukan keselamatan negara menentang ancaman pengganas.
Selain mengunjungi memorial dan lokasi bersejarah, peserta turut didedahkan kepada kisah pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan keamanan serta kedaulatan negara terus terpelihara.
Peserta, Raja Azlan Shah berkata, lawatan ke lokasi bersejarah itu memberi peluang kepada generasi hari ini memahami cabaran yang ditempuhi pejuang terdahulu.
“Kita hanya mendengar dan membaca kisah mereka. Apabila sampai ke sini, kita dapat membayangkan pengorbanan yang dilakukan demi negara,” katanya.

Seorang lagi peserta, Abdul Halim Hitam berkata, kunjungan ke Memorial Bukit Kepong memberi pengalaman bermakna selain menjadi teladan kepada generasi muda.

Sementara itu, peserta, Norhana Jafar berkata semangat perpaduan dan kerjasama perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat bagi memastikan keamanan negara terus berkekalan.
Program itu turut menekankan aspek keselamatan jalan raya dengan peserta diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan, menjaga disiplin ketika berkonvoi serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Penganjur berharap program berkenaan dapat dijadikan platform berkesan untuk menyampaikan mesej perpaduan, patriotisme dan penghargaan kepada pasukan keselamatan negara.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw
#JejakPerwiraMerdeka #BukitKepong #PDRM #IPDKualaLangat #Patriotisme #Merdeka2026 #AkmalrizalRadzi #KonvoiMotosikal #KomunitiPermotoran #MalaysiaMadani
