Agong titah terus bongkar penyelewengan institusi awam termasuk FELDA – PM
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan meneruskan tindakan tegas membanteras penyelewengan dana awam termasuk menyiasat dakwaan salah urus dalam FELDA selepas pendedahan berkaitan isu kewangan membabitkan Lembaga Tabung Haji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membongkar penyelewengan dalam institusi awam itu dibuat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu tindakan berterusan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit.
Menurutnya, selepas pendedahan berkaitan Tabung Haji, FELDA antara institusi yang akan diberi perhatian bagi memastikan sebarang isu tadbir urus dan pengurusan kewangan dapat diteliti secara menyeluruh.
“Yang di-Pertuan Agong minggu lalu berpesan kepada saya supaya tidak berhenti setakat Tabung Haji sahaja.
“Baginda bertanya siapa pula yang akan menjaga FELDA sekarang. Saya jawab baik, selepas Tabung Haji kita akan teruskan dengan FELDA,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026, di sini.
Anwar berkata, siasatan yang dijalankan bukan bertujuan menghukum mana-mana individu tanpa bukti, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas secara profesional dan berlandaskan fakta.
Beliau menjelaskan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji sebenarnya telah disiapkan sebelum beliau memegang jawatan Perdana Menteri, namun pendedahannya ditangguhkan atas beberapa pertimbangan.
Menurutnya, antara faktor penangguhan itu ialah kebimbangan pihak tertentu bahawa pendedahan laporan berkenaan boleh memberi kesan kepada institusi terbabit.
“Pada peringkat awal, ada permintaan supaya laporan itu tidak didedahkan kerana dikhuatiri memberi risiko kepada Tabung Haji.
“Namun kerajaan perlu membuktikan kepada rakyat mengenai apa yang berlaku termasuk unsur kecelaruan dan amalan yang tidak sepatutnya berlaku dalam pengurusan institusi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan mendedahkan laporan itu akhirnya dibuat demi kepentingan awam serta bagi memastikan rakyat mengetahui keadaan sebenar yang menyebabkan kerugian besar melibatkan dana pendeposit.
Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan setiap sen wang rakyat diuruskan secara telus serta bertanggungjawab.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw
#AnwarIbrahim #FELDA #TabungHaji #RCI #KongresPKR2026 #JohorBahru #Integriti #TadbirUrus #Penyelewengan #PolitikMalaysia
