Kerajaan tidak anak tirikan mana-mana negeri, peruntukan meningkat
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan menganaktirikan mana-mana negeri, sebaliknya menegaskan jumlah peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan terus meningkat di seluruh negara.
Beliau berkata, peningkatan itu dapat dilihat menerusi pertambahan ketara peruntukan pembangunan yang diterima negeri-negeri termasuk Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu dan Negeri Sembilan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, Sabah menerima peningkatan peruntukan daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM17.6 bilion pada tahun ini, manakala Sarawak menerima RM9.7 bilion.
“Terengganu pula meningkat daripada RM6 bilion kepada RM8 bilion, Johor daripada RM10.2 bilion kepada RM14.6 bilion dan Negeri Sembilan daripada RM4.4 bilion kepada RM6 bilion,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini, semalam.
Anwar berkata, naratif yang mendakwa sesetengah negeri dipinggirkan termasuk Kelantan adalah tidak tepat kerana kerajaan sentiasa berusaha menyalurkan pembangunan secara adil kepada semua negeri.
Katanya, terdapat kelemahan dari aspek komunikasi dan penyampaian maklumat yang menyebabkan sebahagian rakyat tidak mengetahui pencapaian serta usaha yang dilaksanakan kerajaan.
“Masih ada di Kelantan yang mengatakan negeri itu dianaktirikan. Kadang-kadang ada teguran di Sabah seolah-olah kita tidak mempedulikan mereka.
“Jangan salah faham. Walaupun kita tahu ada pihak yang kadang-kadang berniat tidak baik, kita tetap perlu mendengar dan menyantuni pandangan mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan serta hak Sabah dan Sarawak kini diangkat sebagai Agenda Nasional dan tidak lagi dianggap sebagai isu sampingan.
Menurutnya, kerajaan hari ini merupakan antara pentadbiran yang memberi perhatian serius terhadap keperluan kedua-dua negeri berkenaan dalam agenda pembangunan negara.
“Saya mahu tegaskan bahawa apa juga kelemahan yang ada, inilah kerajaan pertama yang tidak melihat tuntutan Sabah dan Sarawak sebagai isu sampingan,” katanya.
Anwar turut menyelar sikap sesetengah pihak yang hanya membangkitkan isu Sabah dan Sarawak ketika musim pilihan raya, sedangkan pembangunan kedua-dua negeri itu perlu menjadi sebahagian daripada agenda pembinaan negara secara menyeluruh.
Katanya, Malaysia hanya mampu mencapai kejayaan sebagai sebuah negara yang bersatu apabila Sabah dan Sarawak diberikan peranan sewajarnya dalam pembangunan nasional.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw
#AnwarIbrahim #PKR2026 #KongresNasionalPKR #KerajaanPerpaduan #Sabah #Sarawak #PeruntukanPembangunan #AgendaNasional #PolitikMalaysia #JohorBahru
