LARUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan seorang lelaki dan merampas 28 ekor burung yang dilindungi serta 27 sangkar di sebuah rumah di Kampung Kedai Empat, Tanjung Piandang dekat sini, Selasa lalu.
Bernama melaporkan, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata pesawah berumur 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa PERHILITAN pada 10 pagi hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata burung yang dirampas itu membabitkan pelbagai spesies iaitu 23 burung ruak-ruak, dua burung belibis dan tiga burung ayam-ayam.
Katanya lelaki itu mendakwa dia menyimpan kesemua burung itu sebagai hobi namun tidak memiliki dokumen pemilikan hidupan liar yang sah.
Susulan itu dia ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Burung ruak-ruak yang ditangkap memerlukan lesen RM10 seekor untuk setahun. Ia dipercayai dijual dengan harga antara RM10 hingga RM20 seekor,” katanya dalam sidang media di Pejabat PERHILITAN di Selama hari ini.
Yusoff berkata lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya memohon lesen untuk memiliki dan menyimpan hidupan liar secara sah bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BAGAN DATUK: Bagan Datuk: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol tiga lelaki dalam kejadian di rumah tumpangan di Hutan Melintang dekat sini, semalam.
Difahamkan, kanak-kanak yang tinggal bersama ibu saudaranya sejak tiga bulan lalu dan sudah tidak bersekolah, dipercayai melarikan diri dari rumah di Hutan Melintang, dekat sini pada 1 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata mangsa kemudian pergi ke taman permainan berhampiran sebelum dihampiri dua lelaki.
“Dua lelaki itu mengajak mangsa mengikuti mereka dan disebabkan tiada tempat untuk dituju, kanak-kanak itu kemudian bersetuju dan dibawa ke sebuah rumah tumpangan yang dihuni seorang lagi rakan suspek.
“Mangsa diajak melakukan hubungan seks dan perbuatan itu dilakukan bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek sebelum mangsa ditinggalkan sendirian di rumah tumpangan berkenaan.
“Mangsa juga mengakui mengenali seorang daripada lelaki itu yang tinggal berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anuar berkata, ibu saudara mangsa berusia 24 tahun yang menyedari kehilangan kanak-kanak itu kemudian mencari anak saudaranya, namun gagal sebelum dia dihubungi seorang daripada suspek pada 7.40 malam.
Katanya, suspek memberitahu wanita itu anak saudaranya sudah dirogol dan mengugut supaya diberikan RM4,000 untuk membebaskan kanak-kanak itu.
Ibu saudara mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menahan seorang lelaki di Hutan Melintang pada 6.30 pagi hari ini ketika cuba mendapatkan wang dari wanita itu.
“Dua lagi lelaki ditahan setengah jam selepas itu dan polis turut merampas beberapa barangan termasuk kenderaan dan telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 33 tahun itu positif methampethamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan berada di Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.
Gambar Hiasan
“Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi penganut agama Hindu yang menyambut Deepavali, hujung minggu ini.
SOP itu adalah antara usaha kerajaan negeri dalam mengawal risiko penularan wabak COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, semua SOP itu diputuskan selepas mendapat pandangan dan khidmat nasihat daripada semua pihak, termasuk Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
DATUK Seri Shahaniza Shamsuddin
“Bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa, kita mengklasifikasikan rumah ibadat atau kuil bagi upacara sembahyang sempena Deepavali tahun ini kepada tiga kategori.
“Bagi kategori A, terdapat 30 kuil di seluruh Pahang dan kita tetapkan hanya 50 penganut sahaja berada dalam kawasan kuil pada satu masa.
“Bagi kategori B pula, sebanyak 52 kuil dan dibenarkan hanya 40 orang (berada dalam kawasan kuil) pada satu masa dan untuk kategori C pula, kita ada 23 (kuil) dan jumlah dibenarkan berada dalam kawasan untuk upacara sembahyang pula ialah 30 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Pengarah Perpaduan Negeri Pahang di sini, petang tadi.
Shahaniza turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga menetapkan semua upacara keagamaan atau sembahyang sempena Deepavali hanya dibenarkan dari jam 7 pagi hingga jam 12 tengah hari sahaja.
“Pihak pengurusan kuil perlu mematuhi setiap SOP dikeluarkan MKN dan Kementerian Kesihatan seperti pematuhan penjarakan fizikal dalam ruangan sembahyang dan di luar (perkarangan) rumah ibadat; pemeriksaan suhu; menyediakan handsanitizer; serta menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan pendaftaran.
“Jika juga ingin mengingatkan bahawa kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas tidak digalakkan hadir atau menyertai upacara sembahyang bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perhimpunan sama ada sebelum atau selepas selesai upacara keagamaan adalah tidak dibenarkan dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas serta mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak yang ingkar.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
4 TAHUN MENANTI – ISTERI AWIE DISAHKAN HAMIL 7 BULAN
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie memaklumkan dia bakal menimang cahaya mata keenam pada tahun hadapan, selepas isterinya, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin disahkan hamil setelah hampir empat tahun menanti.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 52, berkata kandungan anak sulung bersama isterinya kini sudah memasuki usia tujuh bulan dan dijangka bakal bersalin Januari depan.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik. Ibu dan baby juga sihat-sihat sahaja. Tak ada apa yang ingin saya katakan, hanya memohon doa agar semuanya dipermudahkan,” tuturnya.
Memetik laporan artis Malaysia Perkhabaran gembira itu turut dikongsikan oleh Awie & isteri menerusi Instagram milik masing-masing. Pasangan ini memuat naik video yang memaparkan mereka membuat pemeriksaan rutin ibu hamil di sebuah hospital.
“Saya di sini bersama isteri untuk check kandungan tujuh bulan. Sudah lima anak saya dilahirkan di sini dengan satu doktor yang sama,” katanya.
Untuk makluman, Awie dan Sharifah Ladyana mendirikan rumah tangga pada 7 Oktober 2016 di Songkhla, Thailand.
Terdahulu Awie pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Arni Nazira pada tahun 1998 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 19, dan Puteri Aleefa Antasha, 17.
Awie kemudian bernikah dengan Rozana Misbun adik kepada aktres Haliza Misbun pada 2006. Kasil daripada perkahwinan mereka, iaitu Putra Ahmad Merrah,11, Putra Ahmad Rezzki, 10; dan Puteri Qasseh Antasha, 8.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MICKEY PUAS HATI SEPANJANG BERAKSI BERSAMA SKUAD TOKGAJAH
KUANTAN: Selepas lima musim bersama Pahang akhirnya pemain lincah, Mohd Faisal Abdul Halim mengucapkan selamat tinggal apabila kontraknya bersama skuad Tok Gajah tidak disambung musim depan.
Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, sebagai pemain profesional dia perlu menerima hakikat bahawa tidak selamanya dapat bermain dengan pasukan TokGajah selepas lima musim diharungi.
Kata Faisal, selama bersama skuad Pahang yang dibimbing Dollah Salleh, terlalu banyak pengalaman dikumpul sebagai bekalan mengharungi cabaran di pentas bola sepak tempatan selepas ini.
“Saya seronok bersama Tok Gajah selama lima musim, pahit dan manis beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) banyak dapat dikumpul hingga akhirnya berpeluang terpilih membawa cabaran pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
“Pengurusan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) sentiasa menjaga kebajikan pemain, saya berbangga dapat menabur bakti dengan TokGajah,” kata Faisal yang sedang meneliti tawaran beberapa pasukan baharu untuk saingan musim depan.
Dia yang terkenal dengan panggilan Mickey berkata, menyarung jersi Pahang menjadi kebanggaan walaupun tidak mampu memberi banyak kejayaan kepada pasukan, kepercayaan jurulatih untuk beraksi merupakan suatu penghargaan amat bererti dan membanggakan.
“Saya seronok bergandingan dengan barisan pemain import bertaraf bintang seperti Mohamadou Sumareh, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon.
“Saya doakan semoga TokGajah meniti kejayaan selepas ini,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Cristiano Ronaldo dijangka akan menyertai Wolverhampton Wanderers berdasarkan pertalianPortugal, kata Troy Deeney.
Legenda Watford itu meramalkan pemain 35 tahun Juventus, Ronaldo akan kembali ke England selepas meninggalkan Manchester United 11 tahun lalu.
Namun kali ini dia tidak akan kembali ke Old Trafford, sebaliknya Deeney melihat Wolves sebagai destinasi seterusnya Ronaldo.
Menurut Deeney, kehadiran ramai pemain Portugal dalam skuad berkenaan, serta peranan ejennya Jorge Mendes, mampu merealisasikan perpindahan itu.
“Saya lihat lebih kepada kelab seperti Wolves, dengan pertalianPortugal. Ia mungkin menjadi kenyataan,” kata Deeney seperti dilaporkan AGENSI.
Bintang Portugal yang membarisi skuad Wolves ketika ini antaranya Rui Patricio, Nelson Semedo, Ruben Neves, Joao Moutinho dan Daniel Podence, serta pengendalinya, Nuno Espirito Santo.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang ibu tunggal berhasrat mahu perniagaan petai jeruk diusahakannya menembusi pasaran ke luar Pahang.
Nor Zehan Mohd Zaidin @Mohd Saidin, 40, berkata ketika ini petai jeruk yang diusahakan hampir tujuh tahun itu hanya berada dalam pasaran negeri Pahang.
Nor Zehan bergambar bersama petai jeruk yang dipasarkan di daerah Kuantan
Beliau berkata, ketika ini beliau menjerukkan hampir 250 kilogram (kg) petai sebulan yang diborong daripada tempat kelahiran bapanya di Kuala Krai, Kelantan.
“Anggaran sebulan boleh menjual 800 bekas petai jeruk yang mana sebekas dijual pada harga RM5.
Anggaran 250kg biji petai yang dijerukkan bagi jualan selama sebulan
“Ketika ini saya berniaga di pasar tani UTC Kuantan, kedai runcit dan di 40 kedai Agrobazaar dalam daerah Kuantan.
“Selain itu petai jeruk saya juga dihantar ke daerah Pekan dan di Muadzam Shah, “katanya ketika ditemui wartawan SAHIH di sini,hari ini.
Katanya,petai jeruk boleh dimakan sebagai ulam, nasi goreng petai dan dimasak bersama ikan sardin.
Petai yang diborong dari Kuala Krai,Kelantan sebelum dijerukkan
“Memandangkan petai adalah tumbuhan bermusim, maka pada tahun ini saya telah membeli 50,000 keping petai untuk dijadikan stok selama setahun.
“Petai yang telah dijerukkan ni tahan lama sehingga dua tahun kerana saya masukkan sukatan garam yang diperlukan dan air yang ditapis.
“Malah air jeruk daripada petai tersebut juga boleh dimakan bersama nasi.
“Kebanyakan orang dahulu memang makan air jeruk bersama nasi sebagai penambah selera.
“Petua orang lama juga bagi yang mengalami lumpuh boleh amalkan dengan membasuh bahagian pusat sampai ke bahagian kaki selain merendam kaki dengan air jeruk tersebut ,”katanya.
Ujarnya, setakat ini beliau mempunyai tiga orang pembantu dengan upah RM60 seorang bagi memicit 1,000 keping petai.
“Untuk buat jeruk, petai terlebih dahulu perlu dipicit agar terpisah dengan kulit,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyerahkan surat rasmi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia susulan gesaan terhadap penganjur membatalkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33).
Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkongsi perkara berkenaan melalui hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
“YADIM menyerahkan surat rasmi kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menggesa hiburan yang tidak mematuhi syariah dapat dibatalkan terutama di saat umat Islam berdepan pandemik COVID-19,” katanya.
Surat bantahan itu diterima Pegawai Tugas Khas (Dasar) Kementerian, Muhammad Iqbal Mahashim mewakili Menteri, Saifuddin Abdullah.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan YADIM menggesa ABPBH 33 dibatalkan selepas pihaknya mendakwa menerima banyak aduan berkenaan program yang dijadual berlangsung esok itu.
ABPBH 33 yang dikendalikan Berita Harian dan TV3 melalui syarikat produksi, PrimeworksStudios(PWS) dijadual disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, mulai jam 9 malam esok.
Nasrudin juga berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkfili Mohamad menemui Saifuddin bagi menyatakan sikap dan pandangan Islam berhubung isu hiburan dan ABPBH 33.
Sementara itu, Zulkifli berkata, dia berkongsi beberapa buah fikiran dan pandangan berhubung penganjuran program hiburan hasil pertemuan dengan Saifuddin di KKMM hari ini.
Zulkifli yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, Islam tidak menolak sebarang bentuk hiburan selagi tidak bertentangan dengan agama.
“Saya menjelaskan pendirian Islam yang tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama.
“Hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah satu bentuk pendekatan yang amat baik dalam situasi yang menekan pada masa ini,” katanya juga melalui media sosial.
Bagaimanapun, katanya, beberapa isu sensitiviti umat Islam seperti bulan Maulidur Rasul yang masih berbaki beberapa hari, perlu diberi pertimbangan sebaiknya.
“Alhamdulillah, Saifuddin memaklumkan kepada saya yang dia akan menghubungi pihak penganjur dan berusaha meneliti ruang penambahbaikan yang sesuai. Terima kasih atas keprihatinannya dalam perkara ini,” katanya.
Zulkfli berkata, dia turut mengambil maklum pandemik COVID-19 memberi kesan kepada kru belakang tabir terutama yang bekerja sepenuh masa dalam industri.
Justeru menurutnya, pihaknya berbesar hati sekiranya dapat meringankan beban penggiat seni yang terjejas pendapatan.
“Jika ada apa-apa yang boleh kami – agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan – hulurkan bantuan, saya amat berbesar hati, bermula Mac hingga hari ini, kami telah menyalurkan hampir RM360 juta kepada 10 kelompok sasar di seluruh Malaysia.
“Sebagai salah sebuah agensi di bawah saya, TV Alhijrah turut menyediakan pelbagai bentuk hiburan alternatif sepanjang penghujung bulan Maulidur Rasul ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkesempatan singgah membeli juadah makanan dan kuih muih di Restoran Selera Patin Bangau, dekat sini, hari ini.
Berdasarkan perkongsian di laman akaun rasmi Facebook Istana Negara, Baginda berdua singgah di restoran berkenaan selepas berangkat dari Pusat Inkubator Kraf Temerloh.
Restoran Selera Patin Bangau adalah antara restoran menyediakan hidangan ikan patin masak tempoyak dan pais patin yang bukan saja terkenal di Pahang, bahkan turut menjadi sebutan penggemar masakan tradisional Pahang dari seluruh negara.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA MINTA POLIS BANTU KESAN
SEPANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang gagal membuat saringan COVID-19.
Pengerusinya, Mohamad Zain A Hamid, berkata bilangan mereka yang didapati tidak pulang ke kediaman di situ diperoleh melalui rakan dan jiran selepas polis mengepung kawasan itu pada jam 6 petang Selasa lalu.
Menurut laporan BHOnline, Mohamad Zain berkata, pihaknya mengubah strategi untuk mengepung awal kawasan itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diisytiharkan bagi mengelakkan penduduk melarikan diri.
Katanya, kawasan itu dihuni 800 penduduk dan pihaknya sedang mengesan mereka yang hilang melalui rakan sebilik, jiran serta aplikasi MySejahtera.
“Kita merayu kepada penduduk yang tidak pulang supaya kembali membuat saringan kerana perkara ini membabitkan kesihatan bagi mengelak berlakunya kluster baharu di luar kawasan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Daerah Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi di sini.
Katanya, mereka yang gagal melakukan ujian saringan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pusat perniagaan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dikenakan PKPD sehingga 25 November, membabitkan 284 premis serta 800 penduduk.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!