Kerusi Parlimen Jerantut: UMNO yakin kembali dominan, tunggu keputusan pimpinan
Kerusi Parlimen Jerantut: UMNO yakin kembali dominan, tunggu keputusan pimpinan
JERANTUT – UMNO dilihat bersedia menampilkan “wajah baharu” berimej kepimpinan bagi merampas semula kerusi Parlimen Jerantut yang dianggap sebagai kubu tradisi parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahmad Murad Idris berkata.
Aktivis UMNO Jerantut, Ahmad Murad Idris berkata, kerusi berkenaan mempunyai sejarah panjang bersama parti itu dan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2018 disifatkan sebagai situasi luar biasa yang dipengaruhi faktor semasa.
“Jerantut ini kerusi tradisi. Kekalahan itu ada sebab tertentu termasuk gelombang politik dan kekuatan jentera lawan ketika itu.
”Insya-Allah kali ini kita akan bekerja lebih kuat untuk merampas kembali kerusi ini, Barisan Nasional (BN) wajar diberi kepercayaan semula untuk bertanding di kerusi tersebut berdasarkan rekod serta gerak kerja berterusan di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengulas pandangan pihak lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen itu, namun menegaskan keputusan akhir tetap terletak kepada pucuk pimpinan parti.
“Kita serah kepada kepimpinan tertinggi untuk menentukan pembahagian kerusi. Apa juga keputusan, kita akan terima dengan terbuka,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya berlaku tekanan dalam parti, sebaliknya menekankan kepentingan kesepakatan bagi memastikan kemenangan.
Mengulas kekuatan jentera, beliau mendakwa UMNO kini lebih aktif dengan pendekatan turun padang secara konsisten berbanding pihak lawan.
“Yang bekerja hari ini adalah UMNO. Kami bukan sekadar hadir melawat, tetapi benar-benar menyantuni rakyat dan mencari penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya.
Tambah beliau, kepimpinan bahagian juga menunjukkan ketelusan dalam pengurusan bantuan kebajikan termasuk perkongsian laporan perbelanjaan kepada ahli.
Sementara itu, beliau berpandangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai penyandang kerusi berdepan cabaran untuk mempertahankan kemenangan selepas lebih sedekad diberi mandat.
“Mempertahankan kemenangan bukan mudah. Selepas 10 tahun, rakyat mula menilai dan membandingkan pembangunan serta perubahan yang berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan mana-mana calon termasuk penyandang untuk kembali bertanding sekiranya diputuskan oleh kepimpinan parti.
“Apa yang penting, kita mahu menang dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.-SAHIH.
