Polis tegaskan pemahtuhan SOP ketika jalan tugas
Foto : Superitandan Mohd Azhari Muhtar (kiri) serah tugas kepada Pemangku KPD Jerantut, DSP Arshad Ayob (kanan) disaksikan oleh Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (tengah).
JERANTUT – Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Seri Yahya Othman menegaskan semua pegawai dan anggota polis perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan tugas, khususnya dalam operasi berisiko tinggi bagi menjamin keselamatan diri.
Menurut beliau, insiden membabitkan seorang pegawai kanan polis yang diserang individu bersenjatakan parang di Tanjung Kling baru-baru ini menjadi peringatan jelas terhadap risiko di lapangan.
“Walaupun operasi dijalankan mengikut SOP, kita tidak dapat menjangka tindakan agresif suspek sehingga menyebabkan kecederaan kepada anggota di bahagian tangan akibat pergelutan dalam kejadian itu. Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan semula.
”Semua anggota perlu sentiasa berwaspada dan bertindak mengikut prosedur ditetapkan sama ada dalam tangkapan, serbuan atau operasi berisiko tinggi bagi mengelakkan kecederaan, ” katanya kepada media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Jerantut Sempena Pesaraan Superitendan Mohd Azahari Mukhtar, di Ibupejabat Polis Daerah Jerantut, hari ini.
Dalam perkembangan lain, polis turut mengingatkan orang ramai mengenai penggunaan mercun dan bunga api, terutama selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina yang berlangsung berturutan baru-baru ini.
Menurut beliau, lebih 600 lesen telah dikeluarkan bagi penjualan bunga api yang dibenarkan mengikut jenis dan peraturan ditetapkan.
“Namun, orang ramai diingatkan bahawa bermain bunga api selepas pukul 12 malam adalah satu kesalahan kerana boleh mengganggu ketenteraman awam.
”Tindakan boleh diambil di bawah kesalahan kacau ganggu awam walaupun pihak polis berdepan cabaran mengesan pesalah berikutan lokasi permainan yang sering berubah,” katanya.-SAHIH.
