MANILA – Seorang lelaki Filipina yang mendakwa dirinya kebal daripada bisa ular maut selepas lidahnya dipatuk seekor ular tedung semasa cuba mencium reptilia berbisa itu, lapor akhbar The Sun semalam.
Bernardo Alvarez, 62, yang digelar Lelaki Ular, menangkap spesies Ular Tedung Filipina Udara yang sangat berbisa di sebuah rumah penduduk di Pekan Mangaldan, wilayah Pangasinan pada 9 Julai lalu.
Menurut laporan, penduduk pada mulanya bersorak apabila Alvarez berjaya menangkap ular itu namun situasi bertukar ngeri sekelip mata.
Mangsa cuba melakukan aksi mencium reptilia itu dengan meletakkan mulutnya terlalu dekat sebelum ular menggigit hujung lidahnya.
Ular tedung tersebut yang dikenali sebagai antara ular paling berbisa di dunia.
Mangsa yang terkejut dengan serangan pantas ular itu menjerit kesakitan, rebah dan menggelupur di atas tanah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
“‘Bisa ular boleh menyebabkan lumpuh seperti yang berlaku pada Alvarev.
“Apabila sistem badan lumpuh, ia akan menyebabkan mangsa tidak dapat bernafas , kandungan oksigen dalam badan terjejas dan akhirnya degupan jantung terhenti,” kata pegawai kesihatan tempatan, Dr. Anna de Guzman.
Pasukan perubatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian dan cuba memberi bantuan pernafasan tetapi mangsa sudah tidak lagi memberi tindak balas dan tubuhnya sudah kaku akibat kesan bisa itu.
“Mereka tidak berjaya menyelamatkannya kerana bisa terlalu kuat. Kami tidak tahu bagaimana untuk menerima kehilangannya,” kata seorang ahli keluarga Alvrez, Teresa Oca. – Agensi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GOPENG – Empat individu ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan beg tangan seorang wanita ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak dekat Sungai Raia, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu disedari mangsa berusia 46 tahun setelah melihat kelibat lelaki di bahagian pemandu kereta jenis Perodua Axia.
Katanya, lelaki terbabit yang sedar kehadirannya diketahui telah bertindak keluar dari kereta sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
“Ketika mangsa sedang mengisi minyak, dia ternampak bayang-bayang di dalam kereta dan terkejut apabila melihat seorang lelaki tidak dikenali berada di bahagian pemandu.
“Mangsa cuba mengejar suspek namun tidak berjaya sebelum dia menyedari beg tangan dan telefon bimbit miliknya yang diletakkan di kerusi penumpang hadapan telah hilang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hasron Nazri, semasa kejadian, mangsa tidak mengunci pintu kereta dan kejadian itu juga tidak dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kerana mengalami kerosakan server.
Katanya, suspek yang memakai pelitup muka dan topi kaledar itu disyaki masuk ke dalam kereta mangsa dengan cara membuka pintu hadapan sebelah pemandu yang tidak berkunci.
“Hasil siasatan sepasukan anggota dari Balai Polis Gopeng telah membuat tangkapan ke atas empat individu termasuk seorang wanita di sebuah inap desa di Kampung Sungai Itek pada pukul 12.30 tengah hari, lapor KOSMO online
“Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 29 tahun itu diberkas bersama barang yang dicuri yang telah dicam oleh mangsa dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
..
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kota Bharu: Lelaki ditemukan rentung dalam sebuah van yang terbakar di Kampung Bechah Keranji, di sini hari ini.
Mangsa dipercayai dikenali sebagai Ibrahim Mohamed Noor, 59.
Mayat mangsa ditemukan penduduk kampung yang ingin ke sawah, kira-kira jam 4 petang, selepas memeriksa sebuah van yang sudah hangus terbakar.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, mangsa ditemui di tempat duduk pemandu.
Katanya, identiti sebenar mangsa sukar dikenali kerana keadaannya yang hanya tinggal rangka.
“Berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung, mereka memaklumkan ternampak kepulan asap tebal di lokasi pada petang semalam namun menyangkakan hanya kebakaran biasa memandangkan ia adalah kawasan semak serta kedudukannya 200 meter daripada jalan utama.
“Bagaimanapun, seorang penduduk yang masuk ke kawasan itu ternampak sebuah van yang rentung sebelum menemui rangka manusia yang hangus 100 peratus di tempat duduk pemandu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pesara tentera dan memiliki kad rawatan mental serta mengalami masalah kemurungan sejak sekian lama.
Menurutnya, mangsa yang juga mengusahakan perniagaan katering sering mendapatkan rawatan di hospital mental di sini dan keadaan kesihatannya semakin teruk sejak kematian bapa mentua awal tahun ini.
“Menurut anaknya, mangsa sempat mengisi penuh tangki minyak kenderaan terbabit pada petang semalam sebelum keluar.
“Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat serta proses pengecaman dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu anak mangsa, Amin Ibrahim, 19, berkata, bapanya keluar jam 5 petang semalam dan tidak pulang ke rumah selepas itu.
Katanya, bimbang berlaku perkara buruk, dia ke balai polis berhampiran untuk melaporkan kehilangan bapanya, lapor HM online
“Saya juga membuat hebahan menerusi aplikasi WhatsApp selain keluar mencari bapa bersama rakan serta penduduk kampung di sekitar kampung namun gagal sebelum menerima berita mengenai penemuan van dan rangka manusia yang sudah rentung,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Berang: Polis mengambil masa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan berbogel, sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18, di sini, hari ini.
Terdahulu, lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental melarikan diri selepas melanggar sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Bukit Jong, Kuala Terengganu, pada 12.15 tengah hari.
Ketika melarikan diri, lelaki yang memandu kereta Honda City itu melanggar 12 lampu isyarat, tiga SJR PKP dan tiga kenderaan awam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sebaik melanggar SJR di Bukit Jong, lelaki berusia 45 tahun dari Taman Sinn, Semabok, Melaka itu dikatakan memecut kenderaannya menghala ke bandar Kuala Terengganu sebaik menyedari kenderaannya dikejar kereta peronda sektor Balai Chabang Tiga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu yang sedang membuat rondaan Ops Covid-19.
“Lelaki terbabit juga tidak mengendahkan arahan berhenti yang dikeluarkan polis sebanyak tujuh kali sebaik kenderaannya melalui persimpangan lampu isyarat Jalan Tuanku Mizan berhampiran Perpustakaan Awam Negeri sebelum menghala ke persimpangan lampu isyarat Bukit Besar.
“Kenderaan terbabit kemudian terus memecut memasuki Jalan Kuala Berang dan melanggar 12 lampu isyarat dan tiga SJR sebelum ditahan di Kuala Berang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Adli berkata, ketika melarikan diri, lelaki terbabit turut merempuh kenderaan lain, iaitu sebuah kereta dan dua motosikal.
Katanya, kemalangan pertama membabitkan sebuah kereta dipandu seorang wanita di persimpangan lampu isyarat Kampung Kubang Parit, manakala kemalangan kedua membabitkan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki.
Menurutnya, pihaknya belum dapat memastikan kecederaan dialami dua mangsa terbabit.
Katanya, kemalangan ketiga berlaku di KM 30, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Bukit Perah, Ajil, di sini, selepas kenderaan terbabit melanggar SJR PKP di Batu 18 Ajil.
“Mangsa seorang wanita yang menunggang motosikal Yamaha NVX biru patah bahu kiri dan luka di bahagian kepala.
“Kerani berusia 46 tahun dari Kampung Batu 24, di sini, dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mohd Adli berkata, berlaku sedikit pergelutan sebelum lelaki terbabit berjaya ditahan sebelum dibawa ke hospital bagi mendapat rawatan segera selepas mengalami luka kecil di kepala, pipi kiri, kaki dan tangan, lapor HM online.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu. Semakan rekod mendapati lelaki terbabit menghidap masalah sakit mental iaitu Schizophrenia.
“Ujian air kencing, darah dan ujian saringan Covid-19 turut dilakukan dan keputusannya negatif Covid-19,” katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LELAKI TUMBUK POLIS, CONTENG TEMBOK ISTANA MAUT KEMALANGAN
Alor Setar: Lelaki yang dipercayai terbabit dua kejadian khianat di sini, hari ini, maut apabila motosikal ditunggang terbabas di Bedong, Sungai Petani, dekat sini.
Lelaki berusia 30-an itu disyaki terbabit dalam kejadian khianat dengan menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit, di sini, pada 3 petang.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek bagaimanapun melarikan diri dan siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek menconteng di bahagian tembok dinding istana dengan tulisan ‘SAMR’.
“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan motosikal berwarna hitam. Susulan kejadian itu, polis memulakan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, kira-kira jam 5 petang pula, suspek terbabit dipercayai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis wanita yang sedang bertugas hingga cedera di muka.
Selain itu, katanya, suspek turut membaling satu objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri dengan menggunakan motosikal warna hitam.
Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan berjaya mengesan seorang suspek lelaki yang dipercayai terbabit di dalam kedua-dua kejadian ini.
Kamarul Zaman berkata, hasil serbuan dilakukan, polis berjaya menemui motosikal yang digunakan ketika kejadian menconteng di tembok Istana Anak Bukit itu.
Katanya, usaha mengesan suspek diteruskan sebelum ditemui suspek di kawasan Gurun, Sungai Petani.
“Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian terus melarikan diri, tanpa mengendahkan amaran pihak polis supaya berhenti.
“Ketika dalam usaha melarikan diri, motosikal yang ditunggang laju oleh suspek dipercayai terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani menyebabkannya cedera,” katanya.
Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, pegawai perubatan yang ke lokasi kejadian mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian, lapor HM online
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.
“Siasatan lanjut diteruskan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUNGAI PETANI: Tiga sekeluarga melalui detik cemas selepas seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Serukam di sini, semalam.
Nurhidayah Mohd. Shawal, 20, berkata, kehadiran ular tedung tersebut disedari neneknya, Che Basah Baharom, 74, yang sedang berbaring di ruang tamu rumah kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Asar di dalam bilik sebelum neneknya datang dan memaklumkan tentang reptilia itu.
Katanya, dia segera mengajak neneknya untuk bersembunyi di dalam bilik selepas mendapati ular tersebut berada dalam rumah itu, selain mengejutkan sepupunya, Nur Murni Amani Amirhizam, 16, yang sedang tidur di dalam bilik tersebut.
“Badan saya menggigil melihat ular tedung selar sedang itu ‘berdiri’ setinggi kira-kira 0.6 meter di ruang tamu rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, tambahnya, ketika kejadian datuknya, Abu Seman Ali, 75, berada di luar rumah.
“Saya cuba menghubungi beberapa ahli keluarga terdekat untuk meminta bantuan dan seorang bapa saudara saya kemudian menghubungi rakannya dari Skuad Sungai Petani Respone Team,” ujarnya.
Sementara itu, sukarelawan dari Skuad Sungai Petani Respone Team, Mohd Amir Faizal Mohd Zaki berkata, sebaik sahaja tiba, dia mendapati ular itu berlingkar di bawah tayar basikal di ruang tamu rumah mangsa, lapor KOSMO online
Katanya, dia mengambil masa selama 15 minit untuk menangkap ular berkenaan yang bertindak agresif sebelum diserahkan kepada Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan dakwaan kononnya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa mengarahkan penutupan kilang yang mendatangkan risiko kepada kesihatan awam.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan Pusat sudah menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri pada 26 Jun lalu, untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kegiatan yang boleh mengakibatkan penularan pandemik COVID-19.
“Dalam hal ini, kita ambil contoh di Selangor dan mereka kata tidak ada kuasa untuk menutup kilang sedangkan ia (kuasa) itu sudah diturunkan kepada mereka melalui Akta 432 yang merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Selain itu, mereka (PBT) juga boleh menggunakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang secara jelas membenarkan semua PBT mengambil tindakan kompaun dan mengarahkan penutupan premis atau kilang yang menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Jadi, tidak betullah kalau mereka (kerajaan Selangor) cakap mereka tidak ada kuasa… kita (kerajaan Pusat) sudah turunkan kuasa kepada mereka dan boleh guna Akta 171 bagi menutup kilang terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja sempena Pelancaran Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) KPKT dan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Orang Ramai Kampung Serengkam, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri KPKPT yang juga ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Selangor, Ng Sze Han dilaporkan berkata, PBT tidak mempunyai kuasa berkaitan kawalan jangkitan penyakit untuk menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Sebaliknya, Sze Han mendakwa kuasa itu terletak di bawah kerajaan Pusat untuk menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan arahan penutupan kilang atau premis perniagaan dibuat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
FELDA PERLU TAMBAHAN MASA UNTUK PENYELARASAN PINJAMAN PENEROKA
JERANTUT: FELDA perlu menimbang cadangan agar tempoh 14 hari untuk menandatangani perjanjian antara FELDA dan peneroka melalui inisiatif penyelarasan pinjaman peneroka dilanjutkan bagi memberi peluang mereka memahami isi kandungannya dengan lebih jelas.
Generasi kedua yang juga Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Mohd Hafizan Umar, 43 berkata, tambahan masa adalah perlu bagi membolehkan peneroka menyemak jumlah besar hutang yang tercatat dalam penyata peneroka yang dimuat turun melalui e-portal.
Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Mohd Hafizan Umar
Katanya, ia perlu disemak oleh peneroka dan juga Jawatankuasa Tanam Semula (JTKS) di peringkat rancangan dan perlu disahkan bersama laporan kewangan JKTS.
” Ini bagi memastikan tiada kesalahan serta ketelusan nilai hutang dalam penyata yang dikeluarkan oleh FELDA.
“Saya ada menerima maklumbalas bahawa masih terdapat kesalahan di dalam penyata yang dikeluarkan oleh FELDA berakhir 31 Disember 2019, maka perlu ada tempoh masa yang sesuai untuk peneroka menelitinya, ” katanya.
Beliau berkata, tambahan hari itu perlu bagi memberi peluang kepada peneroka generasi pertama berbincang dengan anak-anak mereka yang kebanyakan berada di perantauan.
” Persetujuan inisiatif ini memerlukan perbincangan keluarga peneroka kerana ia dengan jelas melibatkan waris, sebagaimana termaktub dalam perjanjian yang ditetapkan oleh FELDA.
” Ramai peneroka menganggap tempoh masa 14 hari untuk mendapatkan persetujuan dilihat amat singkat dan terburu-buru dalam keadaan negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP),” katanya.
Beliau berkata, kesefahaman semua pihak penting terutamanya syarat yang telah dikeluarkan perlu difahami peneroka agar inisiatif yang baik ini dapat dilaksana dengan lancar dan bersifat menang -menang antara FELDA dan peneroka kerana ia telah lama ditunggu-tunggu oleh seluruh warga FELDA sejak sekian lama.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Abdul Razak Daud, 60, berkata, kebanyakan peneroka setuju dengan syarat yang baru yang dikeluarkan oleh pihak FELDA kerana ianya lebih sistematik dan munasabah.
” Peneroka hendaklah mengambil peluang atas usaha kerajaan dan FELDA untuk membantu para peneroka dan ia adalah satu kerugian besar jika peneroka menolaknya.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Abdul Razak Daud
” Inilah perjuangan kita selama ini dan yang ditunggu -tunggu supaya Felda menghapuskan sebahagian pinjaman peneroka dan hari ini kita amat bertuah kerajaan dan FELDA telah bersetuju melupuskan sebanyak 80%. hutang dengan FELDA,” katanya.
Abdul Razak berkata,perjanjian pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat antara FELDA dan peneroka dilihat bersifat adil kepada kedua-dua pihak.
Katanya peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat melaksanakan pengurusan kebun mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan oleh FELDA serta perlu menghantar hasil sepenuhnya kepada FELDA.
Dalam pada itu, , Abdul Razak berkata tidak timbul isu peneroka terpaksa menyerahkan tanah bagi menikmati manfaat penghapusan pinjaman yang ditawarkan itu.
Katanya perjanjian tujuh muka surat itu hanya meminta persetujuan peneroka untuk menyerahkan pengurusan kebun di tanah rancangan bermula dari tarikh perjanjian.
“Ia bukan bermaksud tanah kami diambil seperti didakwa, Felda hanya menguruskan kebun sama seperti sebelum ini.
“Kalau kami perlu serah tanah, pengurusan Felda tidak pun meminta geran sebagai cagaran hapus hutang,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dilaporkan akan menggunakan vaksin Pfizer sepenuhya mengantikan vaksin Sinovac mulai akhir Julai ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pengagihan bekalan vaksin Sinovac di Kelantan akan ditamatkan serta-merta mulai akhir Julai ini menggantikan vaksin Pfizer ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan. . “Semua PPV di Kelantan hanya akan dibekal dos suntikan kedua vaksin Sinovac dan tiada lagi bekalan dos pertama bagi vaksin ini selepas tarikh tersebut.
“Selepas ini, Kelantan hanya gunakan Pfizer sahaja menggantikan Sinovac,” katanya dalam satu notis pemberitahuan yang bertarikh 13 Julai lalu.
Kenyataan tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan mengapa Kelantan menolak vaksin Sinovac dan hanya mahukan vaksin Pfizer.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KES BAHARU 13,215 HARI INI, SELANGOR CATAT PALING TINGGI
PETALING JAYA: Sebanyak 13,215 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini, iaitu angka tertinggi selepas tiga hari berturut-turut mengatasi catatan 11,618 kes pada Selasa dan 11,079 pada Isnin seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan secara keseluruhan sebanyak 880,782 kes Covid-19 dilaporkan sehingga kini.
Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi, dengan 6,120 kes. Ia diikuti Negeri Sembilan (1,603), Kuala Lumpur (1,499), Kedah (695), Johor (599), Pulau Pinang (509), Melaka (484), Sabah (370), Sarawak (363), Perak (344), Kelantan (255), Pahang (222), Terengganu (70), Putrajaya (53), Labuan (26), dan Perlis (3).
Manakala pemberian vaksin sudah diberikan sebanyak 434,828 dos pada 14 Julai; 424,541 dos pada 13 Julai dan pada 12 Julai sebanyak 421,479 dos.
Jumlah keseluruhan 12,647,558 dos sudah diberikan setakat 14 Julai 2021.–SAHIH.
Dipetik daripada FMT.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!