KUANTAN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung di Wisma Sri Pahang sejak Isnin menyaksikan kebanyakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) berkumpul untuk membincangkan pelbagai isu untuk kepentingan rakyat Pahang.
Di sebalik isu dibangkitkan, semua ADUN juga masih sempat meluangkan masa memenuhi jemputan rumah terbuka Aidilfitri anjuran pelbagai pihak.
Antaranya Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang di Wisma TNB Jalan Gambut, petang semalam.
Majlis itu dihadiri ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam yang mengiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir semua barisan exco kerajaan Pahang dan ADUN pembangkang.
“Sementara menunggu waktu penempohan sidang Dewan Negeri Pahang tadi, saya mengiringi YAB Menteri Besar Pahang ke Menara TNB Pahang bagi memenuhi jemputan jamuan hari raya.
“Terima kasih kepada warga TNB Pahang di atas kesudian menjemput ke majlis pada hari ini,” kongsi Amizar melalui satu hantaran di Facebook.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SKM salur geran RM2.375 juta kepada koperasi Pahang
SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan geran bantuan dan tabung modal pusingan berjumlah RM2.375 juta kepada gerakan koperasi di Pahang tahun lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, AMRAN ABDUL KADIR berkata mengikut rekod pihaknya, sehingga 31 Disember 2022, perolehan (turnover) gerakan koperasi di Pahang adalah berjumlah RM970.17 juta.
“Ini adalah perolehan kedua tertinggi keseluruhan Malaysia selepas Wilayah Persekutuan.
“Pelbagai dasar, garis panduan dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh SKM membuktikan betapa kerajaan sentiasa komited dalam memastikan nasib rakyat terbela, agihan kekayaan yang saksama serta memacu ekonomi negara agar terus berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata, SKM sebagai agensi mengikut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa berusaha keras untuk memastikan agar setiap koperasi berdaftar di Malaysia mampu mencapai objektif dan aspirasi penubuhannya, terutama dalam membantu ekonomi rakyat yang berpendapatan rendah.
“Saya menyeru kepada para koperator di negeri Pahang ini untuk terus memperkasa dan meningkatkan daya saing koperasi, agar dapat terus maju ke hadapan serta merebut peluang ekonomi tersedia, bersatu padu, saling bekerjasama dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi Pahang menjadi negeri yang lebih maju,” katanya.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Keunikan 37 menu, 37 Wilayah di Sambutan Aidilfitri peringkat Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka
JERANTUT – Sambutan Aidilfitri peringkat Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka hari ini sangat istimewa dan unik.
Membabitkan 37 tanah rancangan dalam Wilayah Jengka, sebanyak 37 menu disediakan kepada pengunjung.
Lebih menarik lagi, semua menu disediakan secara gotong-royong oleh penduduk di setiap tanah rancangan FELDA dalam Wilayah Jengka.
Pengerusi Badan Gabungan Masjid Wilayah Jengka , Razak Daud berkata, idea untuk mengambil konsep 37 menu dari 37 kawasan rancangan FELDA itu adalah hasil perbincangan dengan pihak pengurusan FELDA Wilayah Jengka dan PAID Jengka.
“Kita bertuah kerana mendapat kerjasama baik daripada tuan kadi daerah dan semua warga peneroka.
“Jadi kita ambil semangat ini, semangat 37 masjid dari Wilayah Jengka dan ketua peneroka dari setiap tanah rancangan dalam kawasan ini,” katanya.
Razak yang juga Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka turut merakamkan terima kasih kepada semua warga peneroka yang memberi sokongan dan kerjasama baik menjayakan program berkenaan.
Katanya, semangat kebersamaan ini membuktikan peneroka FELDA Wilayah Jengka memiliki semangat tinggi dan hidup dalam keharmonian.– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Mangsa ribut Padang Piol terima sumbangan Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka
JERANTUT – Seramai 12 ketua keluarga dari FELDA Padang Piol dekat sini yang ditimpa musibah ribut menerima sumbangan.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Biro Sosial dan Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud.
Razak berkata, sumbangan berkenaan adalah bertujuan bagi meringankan bebanan mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.
Turut hadir pada jamuan Aidilfitri adalah Pengerusi JKKK Jengka 10, Jantan Mat Saman, Pengerusi JKKK Jengka 8, Sahahril Othman dan Ketua UMNO Tekam Utara, Shariff Salleh.
Penyerahan sumbangan itu juga turut dihadiri AJK UMNO Bahagian Jerantut, Liza Ibrahim.
Sumbangan diberi di rumah mangsa felda Padang piol selepas jamuan hari raya Felda Gelangi 2 dan 3 yang dihadiri 12 orang ketua peneroka wilayah jengka.
Dalam perkembangan lain, Razak berkata, kebanyakan penduduk ketika ditemui pada majlis sama meluahkan kebimbangan mereka terhadap tarif air dan elektrik yang meningkat sejak Ramadan lalu.
“Ramai yang mengeluh kerana mendakwa berlaku kenaikan tarif air dan elektrik yang di luar jangka.
“Jadi, perkara ini kita akan teliti dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Projek pembinaan hospital Maran, Pahang yang tertangguh sejak 2016, dijangka terus berdepan masalah apabila cadangan tapak asal sebelum ini ditukar ke lokasi lain.
Tahun lalu, tapak projek bernilai kira-kira RM300 juta itu dicadangkan dibina berhampiran Kampung Orang Asli Batu 55,Jalan Kuala Sentul-Maran, namun terdapat cadangan baru untuk membawanya ke kawasan sekitar pekan Sri Jaya.
Ahli parlimen Maran, Ismail Abdul Mutalib berkata, perubahan lokasi berkenaan hanya akan menambahkan lagi kos dan membuang masa.
“Projek ini diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh bekas perdana Menteri, Najib Razak dan sudah enam tapak kita kenal pasti sejak ia diluluskan.
“Tapak terakhir dan difikirkan paling sesuai yang dicadangkan adalah di kawasan lapang sasar (Kampung Orang Asli Batu 55) dan kerja tanah juga sudah dimulakan di situ.
“Namun, saya dengar ada cadangan baru untuk membawanya ke lokasi lain, tapak pertama yang pernah dicadangkan dan ditolak sebelum ini.
“Bukankah ini satu kerja bodoh… sejak awal lagi tapak itu kita dah tolak dan sekarang nak buat di tapak sama,” katanya ketika ditemui di Maran, semalam.
Dia turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan projek hospital Maran yang turut memiliki kemudahan penyelidikan penyakit berjangkit pertama di Pantai Timur, diteruskan seperti diluluskan.
Katanya, kegagalan meneruskan pembinaan hospital itu akan memberi kesan besar kepada kira-kira 140,000 penduduk di daerah berkenaan.
“Saya selalu ingatkan kepada pihak berkaitan dengan projek ini, kalau mereka tidak teruskan, bermakna mereka mengkhianati Najib yang bertanggung jawab meluluskan pembinaan hospital tersebut.
“Masalahnya projek ini dah diluluskan, dah ada dalam rekod Perbendaharan… dinyatakan secara jelas seperti diumumkan ketika RMK-11.
“Sebagai perdana Menteri pada masa itu, Najib sudah meneliti dan mendapati ada keperluan untuk menyegerakan pembinaan hospital di daerah Maran dan perlu disiapkan seperti dirancang,” katanya lagi.
Ketika ini, penduduk di Maran mempunyai tiga pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital jika berlaku kecemasan.
Pilihan pertama ialah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh yang jaraknya 48 kilometer, diikuti Hospital Jengka, Bandar Pusat Jengka sejauh 55 kilometer dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan yang jaraknya lebih 70 kilometer.
Ismail turut menyatakan rasa kurang senang apabila terdapat cadangan menggantikan pembinaan hospital itu kepada Pusat Kesihatan Maran yang baru.
Katanya, sepatutnya projek asal adalah pembinaan hospital dan bukan hanya sekadar bertaraf pusat kesihatan.
“Takkanlah dari hospital kita nak tukar jadi pusat Kesihatan, itu tak betul… kerja bodoh namanya, dah elok dapat hospital tiba-tiba dapat pusat Kesihatan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Sebelum ini pusat sumber Ibnu Khaldun di Sekolah Menengah Agama (SMA) Pelangai kelihatan ‘agak lesu’.
Namun atas keprihatinan kerajaan Pahang, sejumlah peruntukan diluluskan bagi menceriakan kembali pusat sumber itu.
Selepas menjalani proses ubah suai, pusat sumber berkenaan akhirnya kembali beroperasi.
Perasmian pusat sumber berwajah baru itu dilakukan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Majlis itu turut dihadiri ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang menganggap proses ubah suai pusat sumber terbabit adalah bukti jelas kesungguhan kerajaan Pahang dalam menyediakan infrastruktur selesa kepada pelajar sekolah di negeri ini.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Suasana sambutan Aidilfitri tahun ini tambah bererti apabila pimpinan UMNO Bahagian Bentong dapat bersua muka dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Bekas ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai itu meluangkan masa menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Bentong, baru-baru ini.
Penampilan Adnan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Long Nan’ pada majlis itu disambut oleh pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dan ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Amizar melalui perkongsian di laman sosial Facebook miliknya mengakui kehadiran ‘Long Nan’ sangat dinantikan oleh semua ahli UMNO Bahagian Bentong.
“Kehadiran tetamu paling istimewa, YBhg Tan Sri Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, mantan Menteri Besar Pahang, mantan ADUN Pelangai menambahkan lagi seri dan meriah majlis.
“Ramai orang Bentong yang rindukan Tan Sri Long Nan… Alhamdulillah, dapat bersua kembali dan bertanya khabar,” katanya.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad Zaini kerana sudi menjemputnya bagi menghadiri majlis berkenaan.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada YH Dato’ Sri Mohamad Zaini bin Salleh kerana sudi menjemput saya.
“Alhamdulillah, malam tadi cukup meriah… ramai tetamu yang hadir,” katanya lagi.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam optimis projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) menghubungkan pekan Karak ke Simpang Pelangai akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Dia berkata, perkara itu adalah antara yang disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkunjung ke Pahang pertengahan April lalu.
“Perbincangan lanjut mengenai LTU Simpang Pelangai memang dilakukan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Datuk Seri Anwar baru-baru ini.
“Perdana Menteri juga memberi komitmen untuk melihat perkara berkenaan dengan lebih teliti.
“Jadi, saya fikir pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Perpaduan Pahang di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pelangai, dekat sini, petang semalam.
Majlis itu dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah dan pimpinan utama semua parti komponen Kerajaan Perpaduan Pahang.
Projek LTU setakat ini sudah menghubungkan bandar Raub dan pekan Padang Tengku, Lipis.
Ia turut membabitkan pembinaan susur ke pekan Simpang Pelangai, namun projek itu masih belum dimulakan kerana belum mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.—– SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Kemeriahan Aidilfitri masih lagi hangat dengan sambutan rumah terbuka diteruskan di FELDA Kemasul, dekat Pelangai.
ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkongsi sambutan yang dihadirinya di Dewan Semai Bakti FELDA berkenaan, semalam.
“Raya kan sebulan.. kenapa tidak ye dak?,” katanya di laman sosial Facebook.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang turut merakam ucapan terima kasih kepada warga FELDA Kemasul kerana sudi menjemputnya.
“Meriah dengan (kehadiran) orang ramai.. kanak-kanak pula dapat duit raya.
“Pelbagai jenis juadah disediakan,” katanya lagi.
Selesai menghadiri sambutan Aidilfitri di Kemasul, Amizar singgah di Kampung Bukit Gajah, dekat sini.
Dia menyantuni keluarga Allahyarham Mohamed Surin Busu yang baru meninggal dunia.
“Saya singgah ke rumah Allahyarham di Kampung Bukit Gajah, menziarahi keluarga dan waris.
“Ketika ini waris sedang menunggu jenazah dari Kelantan,” ujarnya sambil mendoakan urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan.
Amizar seterusnya meluangkan masa menghadiri mesyuarat penyelarasan pasukan bomba sukarela (PBS) jagaan Balai Bomba dan Penyelamat Karak yang diadakan di PBS Simpang Pelangai.
“Mesyuarat turut dihadiri Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Karak.
“Bersama dalam mesyuarat adalah anggota PBS dari Telemong dan Manchis.
“Objektif utama mesyuarat adalah untuk membincangkan hala tuju dan fungsi setiap PBS di Pelangai dengan penyelarasan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Karak,” katanya.
Dia berharap melalui pertemuan dan mesyuarat seumpama itu dapat memantapkan lagi pasukan PBS di Pelangai dalam memberi bantuan awal apabila berlaku insiden banjir kilat dan kebakaran.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bekas ahli parlimen Kuala Krau berani tunjuk sikap ‘gentleman’
TEMERLOH – Sejak negara dilanda pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kepada rakyat.
Ketika itu, semua layak menerima bakul makanan – tidak kiralah mereka sokong kerajaan atau pembangkang – tetap tidak dipinggirkan.
Dan semasa COVID-19 ‘menggila’ di kawasan parlimen Kuala Krau, tidak lain tidak bukan, bekas ahli parlimen di situ juga yang sibuk ke sana sini menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk.
Itu antara jasa yang dilakukan Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan tidak ramai yang mengetahuinya.
“Dia banyak buat kerja sacara diam-diam.. tak suka hebohkan kepada orang.
“Ramai yang dia bantu ketika itu, pendek kata di Kuala Krau ini.. tidak ada keluarga yang perlu kibar ‘bendera putih’.. bantuan memang sampai,” kata seorang penduduk di situ.
Itulah juga ‘kelemahan’ Datuk Seri Ismail, kerana apabila orang tak tahu apa yang dia pernah buat, maka orang cakap dia tak buat kerja.
Namun, ia adalah bukti jelas bahawa Ketua Pemuda UMNO Kuala Krau bukan seorang pemimpin yang ‘gila publisiti’, tetapi lebih gemar bergerak secara senyap.
Sejak dua hari lalu, pelbagai pihak mengecam tindakan petugas stor simpanan barangan diuruskan Datuk Seri Ismail kerana membuang barangan dapur di tempat tidak sepatutnya.
Dan kesilapan petugas itu menjadi bahan untuk menyerang pemimpin berkenaan.
Sedangkan, semua barangan itu sudah dinyatakan sudah tercemar dan tidak lagi selamat untuk digunakan.
Maka, adakah adil untuk ‘menyerang’ bekas ahli parlimen Kuala Krau itu di atas kesilapan yang tidak dilakukan beliau?
Sedangkan Datuk Seri Ismail bertindak sebagai seorang ‘gentleman’ apabila mengaku kekhilafan pihaknya dalam hal menguruskan sisa barangan dapur terbabit.
“Orang lain mungkin akan pilih untuk berdiam diri.. tetapi bukan bagi Datuk Seri Ismail, dia ambil tanggungjawab dan mengakui kelemahan pihaknya.
“Bukankah itu sudah cukup bahawa dia ikhlas dan berani dalam memperbetulkan persepsi tidak tepat yang sedang disebarkan pihak tertentu,” kata seorang lagi penduduk.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!