Malaysia-Indonesia tubuh Majlis Halal, mudahkan pensijilan
Malaysia-Indonesia tubuh Majlis Halal, mudahkan pensijilan
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju menubuhkan Majlis Halal Malaysia-Indonesia bagi memudah cara proses pensijilan halal selain memperkukuh perdagangan produk halal antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat pertama majlis itu yang dijadualkan pada Oktober depan akan memberi tumpuan kepada mekanisme memudah cara pensijilan halal Malaysia dan Indonesia.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi memastikan perdagangan halal dua hala dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan membuka ruang lebih luas kepada produk kedua-dua negara memasuki pasaran masing-masing.
“Kerjasama dua hala ini telah diterjemahkan dan Perdana Menteri telah memberikan keabsahan terhadap perjanjian ini.
“Minggu lepas apabila saya bertemu Presiden Prabowo, beliau juga telah memberikan keabsahannya. Sekarang pelaksanaan mesti dilakukan dan saya harap perdagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia mesti dilaksanakan sepenuhnya, terutama produk halal yang kita import dan eksport ke Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Global Halal Summit 2026 bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 edisi ke-22 di ibu negara, Jumaat.
Ahmad Zahid berkata, penubuhan majlis berkenaan menyusuli rundingan dua hala antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia.
Katanya, Majlis Halal Malaysia-Indonesia akan dipengerusikan BPJPH Indonesia manakala Malaysia akan memainkan peranan sebagai setiausaha agung majlis berkenaan.
Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia sebelum ini turut menandatangani memorandum kerjasama pada 2023 bagi memperkukuh kerjasama dalam pensijilan dan perdagangan halal.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata MIHAS 2026 berjaya mencatat potensi jualan bernilai AS$1.2 bilion dalam tempoh dua hari penganjurannya.
MIHAS 2026 anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dikendalikan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berlangsung dari 23 hingga 26 September.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Malaysia Indonesia, Majlis Halal, pensijilan halal, MIHAS
