MHGN pacu produk halal Malaysia ke pasaran global
MHGN pacu produk halal Malaysia ke pasaran global
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan inisiatif Malaysia Halal Global Nexus (MHGN) bagi memperluas pasaran antarabangsa, memperkukuh rangkaian pemain industri dan meningkatkan keyakinan global terhadap integriti halal Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, MHGN dibangunkan menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Menurutnya, JAKIM memainkan peranan dalam aspek tadbir urus dan piawaian halal, manakala MATRADE menyumbang kepakaran dalam promosi perdagangan antarabangsa.
“Berteraskan slogan ‘Menghubungkan Ekosistem Halal Global’, inisiatif baharu ini menuntut sokongan padu dan sinergi erat daripada semua kementerian, agensi serta pemain industri.
“Ia bagi memastikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia terus menguasai rantaian bekalan global secara mampan dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026 yang diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di sini, Jumaat.
Zulkifli berkata, Malaysia muncul sebagai antara peneraju penting dalam ekonomi halal global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, pertumbuhan berterusan eksport halal serta perkembangan hab perindustrian dan komersial halal di seluruh negara mencerminkan daya tahan serta daya saing ekosistem halal Malaysia.
Menurutnya, sistem pensijilan halal Malaysia yang diterajui JAKIM menjadi antara teras utama kepada pencapaian itu.
Rangka kerja pensijilan yang kukuh termasuk pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara turut membantu membina rangkaian kepercayaan dan meningkatkan keyakinan antarabangsa terhadap produk serta perkhidmatan halal Malaysia.
Malaysia, katanya, akan terus memperkukuh kedudukan dalam landskap halal global menerusi piawaian diyakini, inovasi, teknologi dan kerjasama antarabangsa strategik.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: MHGN, halal Malaysia, JAKIM, MATRADE
