Peladang ‘lebur’ RM301,777 angkara pelaburan tidak wujud
Peladang ‘lebur’ RM301,777 angkara pelaburan tidak wujud
Temerloh: Hasrat seorang peladang kelapa sawit menambah pendapatan bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM301,777 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud dikenali sebagai ‘Prestige Prime’.
Mangsa lelaki berusia 51 tahun dari Kuala Krau di sini, dipercayai menggunakan wang simpanan sendiri selain meminjam daripada adik dan rakannya untuk membuat pelaburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, mangsa pada 11 Ogos lalu menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan pelaburan berkenaan dengan janji dapat menambah pendapatan.
Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian menekan pautan diberikan untuk membuat pendaftaran sebelum diarahkan membuat pembayaran pelaburan ke beberapa akaun bank.
“Mangsa membuat sebanyak 18 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza membabitkan keseluruhan RM301,777.
“Wang itu membabitkan simpanan mangsa serta wang yang dipinjam daripada adik dan rakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nasyim berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati akaun pelaburannya disekat selepas semua transaksi dibuat.
Katanya, mangsa juga tidak memperoleh sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menghubungi melalui telefon atau aplikasi media sosial bagi menawarkan pelaburan dalam talian dengan menjanjikan keuntungan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memuat turun aplikasi atau membuat sebarang transaksi kewangan atas arahan individu tidak dikenali.
“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis,” katanya.-SAHIH
#kw: peladang, pelaburan, penipuan, RM301777
