Syarikat teknologi, telco perlu labur lebih banyak di universiti
Syarikat teknologi, telco perlu labur lebih banyak di universiti
Kuala Lumpur: Syarikat teknologi dan telekomunikasi digesa meningkatkan pelaburan di universiti bagi menyediakan tahap kesalinghubungan terbaik sekali gus mewujudkan persekitaran lebih kukuh untuk inovasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, universiti tidak seharusnya hanya dilihat sebagai medan ujian teknologi baharu, sebaliknya sebagai kumpulan penting pengguna semasa dan masa depan.
Katanya, penyediaan kesalinghubungan terbaik di kampus mampu membuka lebih banyak ruang kepada idea baharu, penyelidikan serta pembangunan inovasi.
“Universiti perlu mempunyai kesalinghubungan terbaik supaya lebih banyak ruang percambahan idea dapat diwujudkan.
“Apabila saya melihat memorandum perjanjian antara universiti dan sektor swasta, saya rasa syarikat teknologi dan telekomunikasi perlu melabur lebih banyak supaya kita tidak hanya perlu meminta peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
“Mereka perlu melihat universiti sebagai antara kelompok pengguna masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi panel pada University Research and Innovation Investment Summit 2026, semalam.
Fahmi berkata, syarikat teknologi dan telekomunikasi perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyokong ekosistem universiti dan tidak hanya bergantung kepada pembiayaan kerajaan.
Menurutnya, pelajar dan penyelidik adalah generasi pengguna masa depan kepada produk serta perkhidmatan yang dibangunkan industri berkenaan.
Katanya, kerjasama lebih erat antara industri dan akademia juga penting bagi memastikan hasil inovasi tidak terhenti pada peringkat projek rintis atau ujian semata-mata.
Sebaliknya, kerjasama itu boleh membantu inovasi dibawa kepada penggunaan sebenar selain membolehkan syarikat memahami dengan lebih baik keperluan serta kecenderungan teknologi pengguna masa depan.
Beliau turut menggalakkan universiti dan penyelidik menjalinkan kerjasama lebih rapat dengan syarikat telekomunikasi.
Menurutnya, kerjasama lebih menyeluruh antara penyelidik dan industri mampu menghasilkan nilai lebih besar daripada hasil penyelidikan yang dijalankan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Fahmi Fadzil, universiti, syarikat teknologi, telekomunikasi
