Speaker belum terima usul undi tidak percaya terhadap PM
Speaker belum terima usul undi tidak percaya terhadap PM
BANGI: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan belum menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Johari berkata, meskipun terdapat ura-ura mengenai perkara itu, tiada sebarang makluman atau dokumen rasmi dikemukakan kepadanya setakat ini.
“Saya dimaklumkan ura-ura itu ada tapi saya belum terima lagi. Kertas lazimnya, lazimnyalah dua minggu sebelum pembentangan itu akan dimaklumkan kepada Speaker.
“Tapi sekarang ini belum terima apa-apa lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI), di sini, Rabu.
Johari mengulas perkara itu susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mencabar pihak yang mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan supaya mengambil tindakan secara rasmi termasuk melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata beliau juga belum menerima sebarang draf atau kertas berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Katanya, lazimnya Speaker akan dimaklumkan mengenai sesuatu RUU kira-kira dua minggu sebelum ia dijadual dibentangkan.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadual bermula pada 5 Oktober hingga 8 Disember 2026.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#DewanRakyat #JohariAbdul #UndiTidakPercaya #Parlimen
