OGSE Malaysia intai pasaran dunia, hasil dijangka melonjak
OGSE Malaysia intai pasaran dunia, hasil dijangka melonjak
KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) negara dijangka mencatat pertumbuhan lebih tinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang menerusi peluasan pasaran antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah memperluaskan pasaran luar negara penting bagi mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat OGSE tempatan selain meningkatkan daya tahan mereka berdepan sebarang kejutan ekonomi dan industri.
Menurutnya, sektor berkenaan merekodkan output kasar RM79.2 bilion dengan nilai ditambah RM39.4 bilion pada 2023.
“Untuk mereka lebih berupaya menyerap sebarang kejutan, kita perlu mengukuhkan aliran pendapatan termasuk daripada pasaran luar negara dan antarabangsa.
“Kita melihat perkembangan menggalakkan setakat ini dan berharap dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, terdapat peningkatan dari segi output serta hasil yang boleh dijana melalui pasaran eksport,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Akses Pasaran Antarabangsa (IMAP) OGSE Turkmenistan di sini.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan menjangkakan inisiatif berkenaan menyumbang kepada peningkatan output serta hasil industri dalam tempoh berkenaan, namun sasaran khusus masih belum ditetapkan.
Sebagai sebahagian usaha itu, seramai 14 syarikat OGSE Malaysia akan menyertai misi ke Turkmenistan pada Oktober depan bagi meneroka peluang perniagaan dan membina jaringan pasaran di negara Asia Tengah itu.
Katanya, Timor-Leste turut dikenal pasti antara destinasi berpotensi di bawah IMAP, manakala beberapa pasaran antarabangsa lain sedang dinilai.
Beliau berkata, pengalaman syarikat tempatan menawarkan penyelesaian praktikal, perkhidmatan dan teknologi dalam industri minyak dan gas memberi kelebihan kepada mereka untuk mengembangkan operasi ke pasaran tenaga antarabangsa.
Malaysia mempunyai 2,894 syarikat OGSE dengan lebih 90 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#OGSE #Ekonomi #Turkmenistan #Eksport
