Anwar beri suntikan semangat kontinjen WorldSkills
Anwar beri suntikan semangat kontinjen WorldSkills
SHANGHAI: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembukaan WorldSkills Shanghai 2026 memberi suntikan semangat kepada kontinjen negara yang membawa misi memburu pingat emas pertama Malaysia dalam pertandingan kemahiran dunia itu.
Anwar menghadiri majlis pembukaan di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai, Selasa lalu, sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta tenaga mahir negara.
Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang dan turut dihadiri pemimpin kerajaan, wakil negara peserta serta komuniti kemahiran antarabangsa.
WorldSkills Shanghai 2026 berlangsung dari 22 hingga 27 September dengan dua acara utama iaitu Pertandingan WorldSkills ke-48 dan Persidangan WorldSkills 2026.
Malaysia menghantar kontinjen seramai 82 individu diketuai Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan selaku Chef de Mission.
Daripada jumlah itu, 22 peserta muda negara berentap dalam 21 bidang kemahiran menerusi misi ‘Road to Gold’ yang menyasarkan pingat emas sulung Malaysia pada pertandingan berprestij berkenaan.
Antara bidang dipertandingkan membabitkan teknologi pembuatan dan kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembinaan serta teknologi bangunan selain seni kreatif dan fesyen.
Penyertaan Malaysia juga menjadi platform menanda aras kemampuan tenaga mahir negara dengan peserta terbaik dunia, selain memperkukuh agenda pembangunan TVET.
Pada masa sama, Persidangan WorldSkills 2026 menghimpunkan penggubal dasar, pendidik, pemimpin industri dan pemain sektor kemahiran bagi bertukar pandangan mengenai masa depan TVET global.
Anwar yang dalam lawatan kerja ke Shanghai dan Hangzhou turut dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi pleno persidangan berkenaan selain mengadakan pertemuan dengan pemimpin industri China.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#WorldSkills #TVET #RoadToGold #Malaysia
