Usia muda bukan penghalang, PERMATA Seni Koir juara di Jerman
Usia muda bukan penghalang, PERMATA Seni Koir juara di Jerman
SEPANG: Usia muda bukan penghalang buat PERMATA Seni Koir apabila berjaya menewaskan peserta lebih dewasa sebelum muncul juara keseluruhan 3rd Internationales Chorfest di Magdeburg, Jerman.
Kumpulan itu meraih 29 daripada 30 mata, sekali gus mencatat markah tertinggi dalam pertandingan antarabangsa yang berlangsung dari 16 hingga 20 September lalu.
Ketua Bidang PERMATA Seni Koir yang juga konduktornya, Datuk Syafinaz Selamat berkata, kejayaan berkenaan cukup bermakna memandangkan kebanyakan pesaing terdiri daripada peserta lebih dewasa dan berpengalaman.
“Sebenarnya kami sangat terkejut sebab rata-rata yang bertanding adalah mereka yang dewasa. Jadi, memang kami tidak sangka dan tidak menjangkakan akan menang.
“Apabila diumumkan markah kami paling tinggi iaitu 29 daripada 30, kami rasa macam tidak percaya. Anak-anak semua dah menangis. Saya sangat gembira dan bangga dengan anak-anak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kepulangan pasukan itu ke tanah air, Rabu.
Kepulangan PERMATA Seni Koir turut disambut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sebagai penghargaan terhadap kejayaan mereka mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Ahli kumpulan itu turut mempersembahkan dua lagu, Sewang dan Enjut di ruang ketibaan KLIA Terminal 1 bagi memeriahkan suasana sambutan.
Syafinaz berkata, kejayaan itu lebih manis apabila pasukan hanya memulakan persediaan sejak April dengan latihan dua kali seminggu, masing-masing selama dua jam setengah.
Menurutnya, latihan bukan hanya tertumpu kepada nyanyian, malah peserta turut mengikuti kelas teori muzik dan ‘sight-singing’ bagi memperkukuh asas serta kemahiran muzik.
Katanya, tempoh latihan itu turut mengejutkan penganjur pertandingan di Jerman selepas melihat mutu persembahan yang dipamerkan anggota muda Malaysia.
“Apabila penganjur bertanya berapa lama dan berapa jam kami berlatih, mereka sangat terperanjat kerana dua jam setengah, dua kali seminggu sebenarnya sangat pendek.
“Tetapi apabila melihat hasilnya, mereka sendiri sangat terkejut dan teruja,” katanya.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#PERMATASeni #Koir #SyafinazSelamat #Jerman
