Usia muda bukan penghalang, PERMATA Seni Koir juara di Jerman
Usia muda bukan penghalang, PERMATA Seni Koir juara di Jerman
SEPANG: Usia muda bukan penghalang buat PERMATA Seni Koir apabila berjaya mengatasi peserta lebih dewasa sebelum muncul juara keseluruhan 3rd Internationales Chorfest di Magdeburg, Jerman.
Kumpulan itu meraih markah tertinggi 29 daripada 30 dalam pertandingan antarabangsa yang berlangsung dari 16 hingga 20 September lalu.
Ketua Bidang PERMATA Seni Koir yang juga konduktornya, Datuk Syafinaz Selamat berkata, kejayaan berkenaan di luar jangkaan memandangkan kebanyakan pesaing terdiri daripada peserta lebih dewasa dan berpengalaman.
“Memang kami tidak sangka dan tidak menjangkakan akan menang. Apabila diumumkan markah kami paling tinggi iaitu 29 daripada 30, kami rasa macam tidak percaya.

“Anak-anak semua dah menangis. Saya sangat gembira dan sangat bangga dengan anak-anak ini,” katanya ketika ditemui selepas kepulangan pasukan itu ke tanah air, Rabu.
Menurutnya, kejayaan itu lebih manis apabila persediaan pasukan hanya bermula sejak April dengan latihan dua kali seminggu selama dua jam setengah bagi setiap sesi.
Ahli PERMATA Seni Koir, Valerie Soh Yue Yun, 14, berkata kerja keras mereka sejak April akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
“Saya sangat gembira dapat menyertai pertandingan ini kerana kami bermula sejak April dan bekerja keras.

“Akhirnya kami muncul juara keseluruhan. Saya memang sangat gembira,” katanya.
Sementara itu, anggota paling muda kumpulan berkenaan, Tarshanaa Suresh, 12, berkata penyertaan di pentas antarabangsa turut memberi pengalaman berharga selain mengeratkan hubungan sesama ahli.
Katanya, latihan, perjalanan dan masa yang diluangkan bersama turut mengajar mereka mengenai kerjasama, disiplin serta semangat berpasukan.
Pada pertandingan itu, PERMATA Seni Koir meraih Diploma Emas Tahap 7 dengan 26.78 mata bagi Kategori Koir Kanak-kanak menerusi lagu Jenny, Song of Hope dan Ardi Bertuah.

Mereka turut muncul juara Kategori Lagu Rakyat selepas meraih Diploma Emas Tahap 9 dengan 29 mata menerusi persembahan Sewang, Tari Tualang Tiga dan Jong Jong Inai.
Kejayaan itu turut mencuri perhatian penganjur apabila kumpulan muda Malaysia berkenaan meraih beberapa pengiktirafan emas pada festival yang disertai 51 koir dari enam negara.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#PERMATASeni #Koir #Jerman #SyafinazSelamat
