Anwar bawa kertas Megatrends Khazanah ke Kabinet Jumaat ini
Anwar bawa kertas Megatrends Khazanah ke Kabinet Jumaat ini
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan kertas awal berkaitan Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kertas disediakan Khazanah Nasional Bhd itu akan dibawa untuk pertimbangan lanjut Jemaah Menteri selepas beliau meneliti ringkasan awal kandungannya.
“Ia satu forum yang menarik dan saya akan membentangkan kertas awal mengenai Megatrends Forum ini pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada KMF 2026 di sini, Isnin.
KMF 2026 memberi tumpuan kepada persoalan kuasa dalam landskap global termasuk geopolitik, perubahan iklim, demografi, ketidaksamaan dan teknologi serta bagaimana kuasa berkenaan memberi kesan kepada ekonomi, pasaran dan dasar awam.
Bagaimanapun, Anwar tidak memperincikan cadangan khusus yang terkandung dalam kertas berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, perubahan besar dunia termasuk ketidaksamaan, perubahan iklim, demografi dan kecerdasan buatan (AI) pada asasnya berkait rapat dengan perebutan kuasa.
Menurutnya, sebagai sebuah institusi pelaburan, Khazanah turut terkesan secara langsung dengan megatrend global yang mempengaruhi pasaran, aliran modal serta keputusan pelaburan.
Katanya, dunia kini menyaksikan modal semakin tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu tenaga, teknologi dan keselamatan, yang masing-masing mempunyai persaingan serta imbangan kuasa tersendiri.
Forum berkenaan turut meneliti perebutan sumber tenaga, termasuk kesan ketegangan geopolitik terhadap harga tenaga, inflasi serta kos modal.
Selain itu, perlumbaan teknologi yang dipacu AI dan penumpuan pelaburan serta keuntungan dalam kalangan pemain utama turut menjadi antara fokus perbincangan.
Aspek keselamatan pula meliputi pertahanan, rantaian bekalan makanan serta sumber kritikal ketika ekonomi global semakin berpecah.
Khazanah turut melihat keperluan Malaysia memperkukuh daya tahan ekonomi menerusi kepelbagaian sumber modal, pasaran eksport dan hubungan rantaian bekalan.
KMF 2026 yang berlangsung pada 5 Oktober membawa tema “Who’s Got the Power? Watching the Watchmen in an Imbalanced World”.-SAHIH
#kw: Anwar Ibrahim, Khazanah Nasional, KMF 2026, Kabinet
