130,307 penagih dadah direkodkan setakat Jun
130,307 penagih dadah direkodkan setakat Jun
BENTONG: Seramai 130,307 penagih dadah direkodkan di seluruh negara setakat Jun lalu, dengan empat negeri mencatatkan kadar penyalahgunaan melebihi nisbah nasional.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan trend penggunaan serta penyalahgunaan dadah melebihi kadar nasional iaitu 381 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Menurutnya, Terengganu merekodkan kadar tertinggi iaitu 735 kes bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan 694 kes, Kedah 669 kes dan Perlis 646 kes.
“Angka dari negeri Terengganu, Kelantan, Kedah termasuk Perlis ternyata membimbangkan kerana semuanya mengatasi nisbah nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Projek Membina dan Meroboh serta Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, di sini, Isnin.
Saifuddin berkata, berdasarkan profil penagih, golongan berusia antara 15 hingga 39 tahun mencatatkan penglibatan paling tinggi.
Katanya, majoriti mereka pula mempunyai tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.
Menurut beliau, dadah jenis amphetamine-type stimulant (ATS) atau dadah sintetik menjadi bahan paling banyak digunakan penagih dengan kadar 84 peratus berbanding dadah jenis lain.
Katanya, perkembangan itu memerlukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk memperhebat kempen kesedaran dan usaha pencegahan di peringkat komuniti.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri terbuka untuk mempergiat kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah.
Usaha itu, katanya, penting bagi memastikan langkah pencegahan, rawatan serta pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan terutama dalam kalangan golongan muda.-SAHIH
#kw: dadah, penagih, Saifuddin Nasution, PUSPEN Karak
