Jangan naif, perdagangan kini jadi senjata geopolitik – Anwar
Jangan naif, perdagangan kini jadi senjata geopolitik – Anwar
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh bersikap naif ketika perdagangan dunia kini semakin dijadikan ‘senjata’ geopolitik menerusi tarif, kawalan eksport, sekatan semikonduktor dan mineral kritikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu menjadikan perdagangan serta rantaian bekalan bukan lagi semata-mata soal ekonomi, sebaliknya berubah menjadi instrumen tekanan dan perebutan kuasa strategik dunia.
Menurutnya, keadaan berkenaan memberi risiko secara langsung kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat bergantung kepada perdagangan serta berada di tengah-tengah rantaian bekalan cip global.
“Tarif, kawalan eksport serta sekatan terhadap cip dan mineral kritikal sudah menjadikan perdagangan sebagai satu bentuk tekanan.
“Bagi negara yang hidup melalui perdagangan seperti Malaysia, perkara ini bukan sekadar pertimbangan teori.
“Negara perdagangan yang naif mengenai perkara ini tidak akan kekal sebagai negara perdagangan untuk tempoh lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026, di sini, Isnin.
Anwar berkata, Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta memastikan negara mempunyai akses kepada teknologi dan sumber kritikal ketika persaingan geopolitik semakin sengit.
Katanya, Malaysia juga perlu terus mengekalkan hubungan ekonomi kukuh dengan blok Barat dan Timur termasuk Amerika Syarikat, Eropah, China, Korea, Jepun dan India.
Menurut beliau, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan data kini menjadi sumber penting kuasa ekonomi serta politik, sekali gus menjadikan dasar teknologi semakin berkait rapat dengan keselamatan ekonomi negara dan daya saing global.
Dalam pada itu, Anwar berkata, konsep kepusatan ASEAN perlu diterjemahkan kepada pengaruh ekonomi dan strategik sebenar, bukan sekadar menjadikan rantau ini sebagai tempat mengadakan mesyuarat.
Katanya, keupayaan ASEAN mengurus perbezaan melalui rundingan sambil terus memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan penting bagi mengekalkan kestabilan serantau serta melindungi kepentingan ekonomi negara anggota.
Beliau berkata, pendekatan Malaysia yang terus berhubung dengan pelbagai blok geopolitik membantu negara mengharungi ketidaktentuan global, namun cabaran pada masa depan kekal besar.-SAHIH
#kw: Anwar Ibrahim, perdagangan global, semikonduktor, ASEAN
