MAPIM sasar RM5 juta bantu 66,000 penduduk Gaza
MAPIM sasar RM5 juta bantu 66,000 penduduk Gaza
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya RM5 juta disasarkan untuk dikumpul Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi membantu kira-kira 66,000 penduduk Gaza menghadapi musim sejuk yang semakin hampir.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kutipan menerusi Tabung Kemanusiaan Musim Sejuk Gaza 2026-2027 yang bermula hari ini akan berlangsung sehingga April tahun depan.
Menurutnya, bantuan akan disalurkan secara berperingkat bermula hujung Oktober ini, sebelum diteruskan pada pertengahan November serta Januari hingga April tahun depan.
“Bantuan meliputi makanan, pakaian musim sejuk, ubat-ubatan, keperluan kanak-kanak, khemah dan paling utama bekalan air bersih.
“Kita akan cuba menghantar kumpulan pertama bantuan hujung Oktober ini dan diteruskan secara berperingkat sehingga April,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Kempen Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Gaza 2026-2027, di sini, Ahad.
Mohd Azmi berkata, bantuan itu semakin mendesak berikutan musim sejuk bakal tiba dan dijangka berlangsung serentak dengan Ramadan pada awal tahun depan.
Katanya, MAPIM kini mengenal pasti rakan kerjasama di Malaysia dan Gaza bagi memastikan setiap bantuan dapat disampaikan secara telus dan berkesan.
Antara yang dipertimbangkan ialah Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Doctors Without Borders serta beberapa organisasi kemanusiaan antarabangsa lain.
Menurutnya, MAPIM turut meneliti kaedah paling berkesan sama ada membeli barangan di Jordan atau Mesir sebelum dibawa masuk ke Gaza atau mendapatkan terus bekalan yang masih tersedia di wilayah berkenaan.
“Kalau kita gunakan kontena, ada masalah termasuk kemungkinan terpaksa menunggu lama untuk masuk sehingga menyebabkan barangan terutama makanan rosak.
“Kalau RM5 juta itu dikira berdasarkan kontena, jumlahnya tidak kurang daripada 20 kontena,” katanya.
Beliau berkata, MAPIM juga bersedia menggunakan laluan kemasukan yang dijangka tersedia pada November sekiranya ia berjaya dibuka.
Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama kerajaan Malaysia dan Mesir terutama bagi mendapatkan kebenaran supaya bantuan dapat dibawa masuk ke Gaza.
Kempen berkenaan menyasarkan kira-kira 66,000 penerima di Khan Younis, Rafah, Deir Al-Balah, Jabalia dan Gaza City.
Orang ramai serta syarikat yang mahu menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun rasmi MAPIM di CIMB 8604556678.-SAHIH
#kw: MAPIM, Gaza, bantuan kemanusiaan, musim sejuk
