DKU tegaskan Tuanku Muhriz kekal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
DKU tegaskan Tuanku Muhriz kekal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) menegaskan tiada kekosongan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal memegang jawatan berkenaan secara sah.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, Tuanku Muhriz dipilih para Undang sebelum dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar ke-11 pada 29 Disember 2008 dan ditabalkan secara rasmi pada 26 Oktober 2009 mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Menurutnya, baginda juga terus memegang jawatan Yang Dipertua Dewan mengikut Perkara 19.
Katanya, UUTKNS 1959 menetapkan jawatan berkenaan hanya boleh menjadi kosong selepas beberapa syarat dipenuhi termasuk penyiasatan secukupnya oleh para Undang, penentuan bahawa wujud alasan di bawah Perkara 10 serta proklamasi mengikut Perkara 10(2).
“Tiada satu pun daripada syarat berkenaan dipenuhi,” katanya dalam perutusan rasmi di sini, Ahad.
Raja Norazli berkata, Tuanku Muhriz terus menjalankan fungsi sebagai Yang Dipertuan Besar sejak 19 April lalu dan DKU terus bersidang dengan baginda sebagai Yang Dipertua.
Menurutnya, Perkara 11 hanya boleh digunakan apabila berlaku kekosongan dan tidak boleh dijadikan asas memilih pengganti selagi jawatan itu masih dipegang secara sah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan berlaku campur tangan Tuanku Muhriz dalam urusan Luak Sungei Ujong ketika persidangan pada 17 April lalu.
Katanya, DKU hanya menerima keputusan Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak Thahak @ Dohak sebagai Undang mengikut adat Luak berkuat kuasa 13 Mei 2025.
Beliau berkata, kuasa memilih, melantik dan memberhentikan Undang terletak pada Luak masing-masing berdasarkan Perkara 14(1) dan (3).
Raja Norazli turut memaklumkan Maarof Mat Rashad diberhentikan sebagai Undang Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023, manakala Badarudin Abdul Khalid terhenti memegang jawatan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong menerusi Luruh Pusaka yang diisytiharkan pada 30 Julai lalu.
Ketika ini, jawatan Undang Luak Sungei Ujong disandang Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau oleh Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Johol oleh Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah.
Jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong pula masih kosong.
Raja Norazli berkata, DKU kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertua Dewan serta tidak mengiktiraf mana-mana individu lain sebagai memegang jawatan berkenaan.
DKU turut menyeru semua penjawat awam negeri dan Persekutuan supaya terus mentadbir Negeri Sembilan mengikut undang-undang serta rantaian perintah yang sah.
Pihak yang mendakwa sudah berlaku “penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya” pula diminta mengemukakan rekod lengkap proses terbabit kepada forum yang mempunyai bidang kuasa.-SAHIH
#kw: Tuanku Muhriz, DKU, Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar
