Gelombang AI pacu ekonomi Malaysia 5.1 peratus
Gelombang AI pacu ekonomi Malaysia 5.1 peratus
KUALA LUMPUR: Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.1 peratus tahun ini sebelum berkembang 4.7 peratus pada 2027, didorong permintaan kukuh terhadap produk serta pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, unjuran terbaru itu meningkat 0.7 mata peratusan berbanding ramalan pada April lalu.
Menurutnya, prestasi Malaysia turut mengatasi purata pertumbuhan rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) yang diunjurkan 4.5 peratus.
“Lebih 70 peratus daripada keseluruhan pertumbuhan eksport Malaysia pada awal 2026 disumbangkan peningkatan permintaan terhadap produk berkaitan AI.
“Jadi Malaysia sememangnya sedang menunggang gelombang AI. Ia kedengaran baik, namun pertumbuhan jika tidak mengambil kira barangan berkaitan AI sebenarnya lemah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia bagi Oktober 2026.
Bagaimanapun, Apurva mengingatkan bahawa penyusutan mendadak ledakan AI global boleh menjadi antara risiko utama terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.
Katanya, sebarang kelembapan ekonomi utama dunia khususnya Amerika Syarikat boleh memberi kesan langsung kepada Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana pertumbuhan negara bergantung kepada sektor AI sekiranya berlaku kelembapan permintaan global terhadap teknologi berkenaan.
Mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi yang kukuh tetapi kesannya belum dirasai sepenuhnya rakyat, Apurva berkata, manfaat awal masih banyak tertumpu kepada pemaju hartanah dan penyedia utiliti.
Katanya, sebahagian besar pulangan eksport juga mengalir kepada pelabur asing.
Menurutnya, Malaysia perlu mempercepat penggunaan teknologi menerusi strategi ‘Small AI’, termasuk penerapan dalam perkhidmatan awam harian, selain menangani jurang kemahiran asas dan digital.
Dalam pada itu, Bank Dunia turut menaikkan unjuran pertumbuhan rantau EAP kepada 4.5 peratus bagi 2026 dan 2027, meningkat 0.3 mata peratusan berbanding ramalan enam bulan lalu.
Ketua Ekonomi Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik, Franziska Ohnsorge berkata, semakan itu didorong pelaburan teknologi tinggi dan eksport lebih kukuh, khususnya negara yang terbabit dalam rantaian bekalan global berkaitan AI.-SAHIH
#kw BankDunia EkonomiMalaysia AI Eksport
