Pandangan akademik RMK13 dibawa ke Jemaah Menteri
Pandangan akademik RMK13 dibawa ke Jemaah Menteri
KUALA LUMPUR: Laporan, cadangan dan kritikan membina daripada ahli akademik mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dipanjangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengalu-alukan penglibatan golongan akademik dalam menilai pelaksanaan rancangan pembangunan negara itu.
Menurutnya, pandangan daripada kelompok berkenaan penting untuk diteliti bukan hanya oleh Kementerian Ekonomi, malah semua kementerian yang terbabit dalam pelaksanaan RMK13.
“Saya lihat input, saranan, pandangan dan kritikan membangun yang dapat diberikan oleh rakan-rakan akademia ini penting untuk dihadam bukan hanya oleh Kementerian Ekonomi, tetapi oleh setiap kementerian.
“Saya mengalu-alukan usaha pihak INPUMA Universiti Malaya dan meminta supaya jika boleh mereka menyediakan sedikit laporan untuk saya panjangkan kepada Jemaah Menteri kelak,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ke-13: Hala Tuju dan Cabaran anjuran INPUMA, Selasa.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, setiap projek di bawah RMK13 perlu dilaksanakan dengan memastikan aspek urus tadbir berada pada tahap terbaik.
Katanya, perkara itu penting memandangkan setiap rancangan pembangunan negara menggunakan wang rakyat.
“Pelaksanaan projek di bawah RMK13 perlu memastikan aspek urus tadbirnya betul, tidak berlaku sebarang salah guna, kleptokrasi ataupun rasuah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan cadangan berkaitan pembangunan ‘ekonomi jingga’ dalam pembentangan Belanjawan akan datang.
Katanya, Kementerian Komunikasi sudah membentuk Majlis Ekonomi Jingga bagi meneliti pembangunan ekonomi kreatif merangkumi industri filem, animasi, muzik serta seni dan budaya.
Menurutnya, beberapa perkara berkaitan pembangunan sektor berkenaan sudah diketengahkan dan diharap mendapat pertimbangan Kementerian Kewangan.-SAHIH
#kw RMK13 FahmiFadzil Akademik EkonomiJingga
