116 pengamal media terima bantuan RM361,300
116 pengamal media terima bantuan RM361,300
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM361,300 disalurkan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM bagi membantu pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup sejak Jun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, seramai 116 pengamal media menerima manfaat daripada tabung itu sejak kerjasama strategik dengan Telekom Malaysia (TM) dimulakan.
Menurutnya, kebajikan dan keselamatan pengamal media sentiasa menjadi perhatian Kementerian Komunikasi, sekali gus mendorong penubuhan tabung berkenaan bagi membantu golongan memerlukan.
Katanya, pengamal media yang berdepan kesulitan boleh menghubungi pejabatnya atau Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku urus setia tabung berkenaan untuk mendapatkan bantuan.
“Sesiapa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pejabat saya atau Bernama kerana agensi berita itu bertindak sebagai urus setia tabung ini.
“Kami di kementerian bersama Bernama akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakan-rakan media yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Minnal FM di ibu negara, Ahad lalu.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.
Pada majlis berkenaan, Teo turut menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada tujuh pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.
Sumbangan itu sebahagian daripada usaha berterusan kementerian bagi memastikan kebajikan pengamal media, khususnya mereka yang berdepan kesulitan, terus mendapat perhatian.
Tabung Kasih@HAWANA diterajui Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama sebagai inisiatif membantu pengamal media yang berdepan pelbagai kesukaran termasuk masalah kesihatan dan kewangan.-SAHIH
#TabungKasihHAWANA #PengamalMedia #KementerianKomunikasi #Bernama
