Dasar kesihatan mental di tempat kerja masih dalam libat urus
Dasar kesihatan mental di tempat kerja masih dalam libat urus
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia dan agensi berkaitan bagi memastikan Dasar Kesihatan Mental di Tempat Kerja dibangunkan secara menyeluruh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, proses libat urus bersama pihak berkepentingan masih diteruskan bagi memastikan dasar berkenaan mengambil kira keperluan pelbagai pihak.
Menurutnya, kementerian tidak mahu dasar berkenaan dibangunkan secara berasingan tanpa perundingan mencukupi dengan agensi berkaitan.
“Kita masih dalam proses mengadakan libat urus lebih luas dengan pihak berkepentingan kerana tidak mahu mewujudkan dasar yang bersifat terpisah atau tanpa perundingan mencukupi bersama agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di ibu negara, Ahad lalu.
Dzulkefly berkata, KKM turut memperluas akses perkhidmatan kesihatan mental menerusi 1,116 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara bagi memastikan masyarakat mendapat bantuan sewajarnya.
Katanya, perkhidmatan berkenaan turut disediakan di hospital dan pusat kesihatan mental berasaskan komuniti termasuk Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI).
“Sebanyak 68 hospital KKM dan empat institusi psikiatri menyediakan perkhidmatan psikiatri, menjadikan keseluruhan 72 fasiliti bagi memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kementerian juga akan terus memperluas latihan kepakaran psikiatri bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan mental di negara ini.
Pada masa sama, KKM mengoptimumkan peranan petugas kesihatan lain menerusi pendekatan perkongsian tugas atau ‘task shifting’ bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pelbagai kategori petugas kesihatan memainkan peranan dalam pengesanan, bantuan dan intervensi awal kepada individu yang memerlukan.
Langkah berkenaan juga membolehkan masyarakat mendapatkan bantuan kesihatan mental lebih awal tanpa hanya bergantung kepada perkhidmatan pakar psikiatri.-SAHIH
#KesihatanMental #KKM #DzulkeflyAhmad #KesihatanPekerja
