4,100 premis terima notis kosong tangki septik
4,100 premis terima notis kosong tangki septik
DUNGUN: Sebanyak 4,100 premis domestik dan komersial menerima notis pemberitahuan pengosongan tangki septik secara berjadual menerusi 13 operasi yang dilaksanakan di tujuh negeri sejak April lalu.
Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, notis itu dikeluarkan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) kepada premis yang dikenal pasti gagal mematuhi keperluan pengosongan tangki septik.
Katanya, setakat 2025 terdapat 1.38 juta tangki septik individu di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dikesan tidak mematuhi peraturan pengosongan secara berjadual.
“Pengosongan tangki septik secara berjadual adalah tanggungjawab pemilik atau penghuni premis berdasarkan Peraturan 2(1), Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2023.
“Bagi premis dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), pengosongan perlu dilakukan setiap dua tahun sekali, manakala bagi kawasan di luar PBT setiap tiga tahun sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Penyu di Taman Sri Dungun, di sini, Isnin.
Ainal Yusman berkata, tangki septik individu mempunyai ruang simpanan terhad dan pepejal yang mendap di dasar tangki perlu dikeluarkan secara berkala.
Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan air kumbahan melimpah keluar dan mencemari parit, longkang serta sumber air.
Ops Penyu dilaksanakan SPAN dengan kerjasama IWK di Bandar Dungun, Paka dan Kerteh dari 3 hingga 9 Oktober.
Setakat ini, operasi sama sudah dilaksanakan di Pulau Pinang, Perak, Perlis, Kedah, Johor, Pahang dan Terengganu.
Menurutnya, sebanyak 111,570 tangki septik di Terengganu dikesan tidak menjalani pengosongan secara berjadual dalam tempoh ditetapkan setakat tahun lalu.
“SPAN menyeru semua pemilik dan penghuni premis memberi kerjasama dengan mematuhi notis yang dikeluarkan serta memastikan penyelenggaraan tangki septik dilakukan secara berjadual.
“Ini penting bagi menjamin kesejahteraan alam, kesihatan awam dan kelestarian sistem pembetungan negara,” katanya.-SAHIH
#kw SPAN IWK TangkiSeptik OpsPenyu
