Cukai karbon ditangguh, kerajaan mahu kerangka lengkap dahulu
Cukai karbon ditangguh, kerajaan mahu kerangka lengkap dahulu
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai karbon ditangguhkan bagi memberi ruang kepada kerajaan melengkapkan kerangka kawal selia, dasar dan perundangan sebelum had pelepasan karbon dikuatkuasakan terhadap industri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan menangguhkan cukai yang pada asalnya dirancang dilaksanakan tahun ini turut mengambil kira perkembangan geopolitik global yang menyebabkan harga tenaga tidak menentu.
Menurutnya, langkah itu memberi ruang kepada industri terjejas untuk membuat penyesuaian sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
“Penangguhan ini juga tepat kerana kita perlu mempunyai kerangka yang betul terlebih dahulu.
“Sebab itu kita berjaya melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan saya berharap Akta Perubahan Iklim dapat dibentangkan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Concorde Club bertajuk ‘Building A Resilient Malaysia: Environment, Climate And Our Future’ di Wisma Bernama, hari ini.
Arthur berkata, selepas kerangka, dasar, peraturan dan kuasa penguatkuasaan tersedia, kerajaan boleh menetapkan had pelepasan karbon.
Katanya, cukai karbon kemudiannya boleh dikenakan sebagai penalti kepada pihak yang melepasi had ditetapkan.
“Jadi, kita tidak melihat pelaksanaan cukai karbon pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Arthur berkata, pengecualian di bawah Peraturan-Peraturan Udara Bersih hanya akan dilanjutkan kepada pengusaha kilang yang menunjukkan tindakan proaktif dalam menerima pakai teknologi berkaitan.
Menurutnya, tiada lagi pengecualian menyeluruh akan diberikan, manakala pengusaha yang tempoh pengecualian tamat Januari tahun depan perlu menunjukkan langkah jelas ke arah pematuhan.
Beliau berkata, 2030 ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk semua industri mencapai pematuhan penuh.
Arthur berkata, teknologi bagi mengurangkan pelepasan sudah tersedia dan kerjasama industri amat penting sekiranya Malaysia mahu mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Sesi berkenaan dikendalikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta pengamal media tempatan dan asing.-SAHIH
#kw CukaiKarbon ArthurJosephKurup AlamSekitar PelepasanKarbon
