Teknologi perlu berkembang tanpa korbankan pekerja
Teknologi perlu berkembang tanpa korbankan pekerja
KUALA LUMPUR: Perkembangan teknologi baharu perlu bergerak seiring dengan perancangan guna tenaga dan kawal selia supaya kemajuan yang dicapai tidak menjejaskan kebajikan pekerja serta pasaran pekerjaan tempatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sememangnya mahu menggalakkan perkembangan teknologi dan inovasi, namun ia perlu dilaksanakan secara seimbang.
Menurutnya, perkembangan teknologi yang terlalu bebas tanpa kawal selia boleh membawa kesan negatif termasuk kehilangan pekerjaan, tekanan terhadap kadar gaji dan gangguan kepada ekosistem perniagaan sedia ada.
“Di pihak kerajaan, kita nak menggalakkan, tetapi ia datang dengan harga tertentu.
“Sekiranya terlalu bebas tanpa kawal selia, akan ada kesan. Kalau rakyat terlalu ramai yang hilang pekerjaan ataupun tidak mendapat gaji yang setimpal, sebab itu ada tekanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Sesi Dialog ‘Teknologi Memacu Perubahan: Adakah Bakat Malaysia Bersedia?’ sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) dan Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Angkasapuri, Isnin.
Fahmi berkata, keseimbangan perlu diwujudkan bagi membolehkan syarikat dan perniagaan melaksanakan pembaharuan serta inovasi tanpa menimbulkan masalah sosial.
Katanya, kemunculan teknologi baharu juga tidak semestinya hanya menghapuskan pekerjaan, sebaliknya turut mewujudkan bidang pekerjaan baharu.
Beliau memberi jaminan bahawa golongan mahasiswa, graduan universiti dan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus mempunyai peluang dalam sektor di bawah Kementerian Komunikasi.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), C&M FSF yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjadi rujukan strategik pembangunan bakat sektor komunikasi dan multimedia bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Bagi memastikan pelaksanaannya mencapai sasaran, Future Skills Talent Council (FSTC) ditubuhkan di bawah teraju KESUMA dengan kerjasama MCMC, manakala KPT berperanan memperkukuh kurikulum dan kompetensi graduan selari keperluan industri masa hadapan.-SAHIH
#kw FahmiFadzil Teknologi Pekerjaan TVET
