Masjid An-Nur berpotensi jadi perintis koperasi masjid ANGKASA di Timor-Leste
Masjid An-Nur berpotensi jadi perintis koperasi masjid ANGKASA di Timor-Leste
DILI: Masjid An-Nur di Kampung Alor di sini berpotensi dipilih sebagai lokasi projek perintis model koperasi masjid yang mahu diperkenalkan ANGKASA bagi membantu memperkukuh sosioekonomi komuniti Islam di Timor-Leste.
Hasrat itu disuarakan Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail ketika bersama Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menyantuni jemaah Subuh di masjid berkenaan pada 2 Oktober lalu.
Kamarudin berkata, pengenalan model koperasi masjid diyakini mampu memberi impak besar kepada komuniti Islam di negara itu memandangkan jumlah mereka yang kecil namun mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat.
“Jika kita perkenalkan mereka dengan konsep koperasi masjid, mungkin impaknya kepada komuniti lebih besar kerana jumlah mereka kecil dan mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat.
“Cita-cita kita adalah untuk memastikan saudara seakidah turut sama maju bersama kita dan kita berharap model koperasi masjid serta latihan yang diberikan nanti dapat membantu mereka berkembang serta meningkatkan taraf sosioekonomi,” katanya.
Dianggarkan kira-kira 5,000 umat Islam menetap di sekitar Dili, manakala kira-kira 20,000 lagi berada di seluruh Timor-Leste.
Secara keseluruhan, komuniti Islam negara itu dianggarkan sekitar 25,000 orang atau 1.92 peratus daripada jumlah penduduk.
Komuniti berkenaan terdiri daripada tiga kelompok utama iaitu keturunan Arab Timor, warga Indonesia dan diaspora termasuk Bugis, Makassar, Jawa serta Alor.
Masjid An-Nur yang dibina pada 1955 merupakan masjid pertama, tertua dan terbesar di Timor-Leste serta pernah menjadi tempat perlindungan ketika konflik sebelum negara itu mencapai kemerdekaan pada 2002.
Kawasan sekitarnya turut dikenali sebagai antara lokasi paling mudah mendapatkan makanan halal dan dilihat berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan halal di Dili pada masa depan.-SAHIH
#kw: ANGKASA, koperasi masjid, Timor-Leste, Masjid An-Nur
