ANGKASA mahu koperasi Timor-Leste, Indonesia saling melengkapi tembusi pasaran global
ANGKASA mahu koperasi Timor-Leste, Indonesia saling melengkapi tembusi pasaran global
DILI: Timor-Leste dan wilayah berdekatan di Indonesia disaran memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam sektor koperasi bagi meningkatkan pengeluaran serta membuka laluan lebih luas ke pasaran ASEAN dan global.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kedua-dua kawasan mempunyai persamaan dari segi budaya, hasil bumi, iklim dan cuaca, namun berbeza dari sudut keupayaan teknologi serta skala pengeluaran.
Menurutnya, Timor-Leste masih banyak bergantung kepada kaedah tradisional dengan pengeluaran berskala kecil, manakala koperasi di Indonesia mempunyai kelebihan dari segi teknologi, kepakaran dan kapasiti pemprosesan.
“Sebagai contoh, biji kopi boleh datang dari Timor-Leste dan proses seterusnya dilakukan di Nusa Tenggara Timur (NTT).
“Timor-Leste mempunyai kelebihan biji kopi arabica bertaraf dunia, manakala NTT boleh memberi fokus kepada peningkatan pengeluaran kopi terproses.
“Justeru, kedua-duanya perlu mencari jalan untuk bekerjasama dan saling melengkapi, bukannya menjadi pesaing sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena ASEAN Co-operative Expo 2026 yang berlangsung bersama The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD2026) di Dili Convention Centre.
Ekspo itu menghimpunkan lebih 30 pempamer, majoritinya dari Timor-Leste selain penyertaan Kemboja dan Indonesia.
Timor-Leste kini mempunyai lebih 351 koperasi dengan kira-kira 100,000 anggota individu serta enam produk teras iaitu sorgum, madu, susu, garam, minyak kelapa dan kemiri.
Setiausaha Negara bagi Koperasi Timor-Leste, Arsenio Pereira da Silva berkata, negara itu mahu memperluaskan variasi produk berasaskan hasil bumi tempatan melalui penggunaan teknologi dan kepakaran luar.
Katanya, sorgum sahaja berpotensi dikembangkan sehingga 30 variasi produk, selain kopi, kemiri dan minyak kelapa yang mempunyai potensi lebih besar untuk pasaran antarabangsa.
Menteri Perdagangan dan Industri Timor-Leste, Filipus Nino Pereira pula berkata, negara itu tidak menyasarkan untuk menjadi pengeksport terbesar kopi atau sorgum.
Sebaliknya, Timor-Leste mahu kekal sebagai pengeluar berskala rendah tetapi berkualiti tinggi atau low-volume, high-quality producer.
Ketika ini, empat produk berkualiti tinggi dari Timor-Leste iaitu kopi arabica organik, bunga cengkih, vanila dan tepung ubi kayu sudah dieksport ke lebih 35 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, China, India, Jepun serta beberapa negara Eropah.-SAHIH
#kw: ANGKASA, Timor-Leste, koperasi, ASEAN
