J-KOM alih 70 peratus fokus komunikasi ke media sosial
J-KOM alih 70 peratus fokus komunikasi ke media sosial
SEBERANG PERAI: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) kini memberi tumpuan 70 peratus usaha komunikasinya kepada media sosial bagi memastikan mesej serta pencapaian kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat.
Ketua Pengarah J-KOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, perubahan pendekatan itu dibuat selari dengan perkembangan semasa apabila masyarakat semakin banyak mendapatkan maklumat melalui platform digital.
Katanya, langkah itu juga penting bagi menangani penyebaran naratif palsu serta memastikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan sampai kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
“Apa yang saya buat, saya sudah ubah fokus J-KOM kepada 70 peratus segmen kita di media sosial, manakala 30 peratus lagi membabitkan program dan aktiviti lapangan.
“Kita melihat tanpa menguasai media sosial, mesej kita tidak akan sampai dengan berkesan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Perai @ Batu Kawan 2026 di Taman Chai Leng, di sini, Ahad.
Menurutnya, baki 30 peratus pendekatan komunikasi J-KOM akan terus memberi tumpuan kepada program serta aktiviti lapangan bagi membolehkan kerajaan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.
Program MADANI Kita yang dilaksanakan di seluruh negara turut menjadi platform mendapatkan maklum balas rakyat mengenai dasar dan prestasi kerajaan.
Mohd Hisyamuddin berkata, setiap peserta program turut diminta mengisi borang tinjauan bagi membantu J-KOM mengenal pasti pandangan rakyat serta perkara yang perlu diperbaiki.
Program berkenaan menghimpunkan 37 jabatan dan agensi kerajaan dengan hampir 2,000 pengunjung direkodkan setakat pagi.-SAHIH
#kw: J-KOM, media sosial, MADANI Kita, komunikasi
