Program Korban Perkukuh Ukhuwah, Bantu Golongan Memerlukan
Foto : Sebahagian penduduk kampung dan sukarelawan dalam kalangan Pemuda UMNO merakamkan kenangan bersama-sama Abdul Razak Abdul Rahman pada program korban berkenaan.
Program Korban Perkukuh Ukhuwah, Bantu Golongan Memerlukan
MELAKA – Ibadat korban bukan sekadar memenuhi tuntutan sunat muakad, malah membawa manfaat besar kepada masyarakat menerusi pengagihan daging kepada golongan memerlukan seperti keluarga miskin, asnaf dan ibu tunggal, di samping memperkukuh semangat perpaduan serta ukhuwah dalam komuniti.
Menyedari kepentingan amalan itu, Surau As-Solihin, Bukit Punggur, Alai, dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Punggur serta Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka menganjurkan Program Korban 2026 di pekarangan surau berkenaan baru-baru ini.
Penasihat 2 Surau As-Solihin, Azadi Mohd Diah, berkata sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan, dengan empat daripadanya disumbangkan oleh anak kariah Kampung Bukit Punggur manakala tiga lagi merupakan sumbangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka.
Menurutnya, program itu berjaya menghimpunkan lebih 40 sukarelawan yang diketuai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka, Mohd Asyraf Zainal, bagi melaksanakan kerja penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban.
“Hasil kerjasama erat penduduk kampung, JPKK dan sukarelawan, sebanyak 185 bungkusan daging korban berjaya diagihkan kepada keluarga miskin, asnaf dan ibu tunggal sekitar kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, semangat gotong-royong dan permuafakatan yang ditunjukkan peserta program membuktikan ibadat korban mampu merapatkan hubungan silaturahim serta memperkukuh institusi kemasyarakatan.
Turut hadir memeriahkan program itu ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, serta bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zaini Md Nor.
Sementara itu, Program Qurban KRT 2026 anjuran KRT Progresif Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor turut berjaya melaksanakan ibadat korban melibatkan tiga ekor lembu, sekali gus mengeratkan hubungan komuniti setempat melalui semangat kerjasama dan kebersamaan. -SAHIH.
