Semangat gotong-royong dan syiar Islam perlu terus diperkasa
Semangat gotong-royong dan syiar Islam perlu terus diperkasa
LIPIS – Semangat gotong-royong serta usaha memperkukuhkan syiar Islam di negeri ini perlu terus dipupuk dan dikekalkan demi kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

Pengasas EZ Qurban, Datuk Azhar Ab Shukur menyerahkan cenderamata kepada Menteri Besar Pahang di program tersebut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ibadah korban bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah menjadi medium penting dalam memperkukuhkan hubungan masyarakat melalui semangat kerjasama, perpaduan dan kebersamaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Inilah semangat gotong-royong yang harus kita pupuk, semai dan kekalkan untuk masa-masa akan datang.
“Program berbentuk keagamaan seperti ini juga membuktikan negeri Pahang sentiasa komited membela kebajikan rakyat, khususnya umat Islam, menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Korban Perdana Peringkat Negeri Pahang di Masjid Saidina Al-Khattab, Kampung Tanjung Gahai, dekat sini.
Menurut beliau, sebahagian daging korban yang disembelih dan dilapah dalam program berkenaan diagihkan kepada kira-kira 3,000 penerima membabitkan 14 kampung sekitar.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak Pahang di perantauan apabila kira-kira 400 pelajar negeri itu di Mesir menerima sumbangan daging korban.
“Ini tanda ingatan kerajaan negeri terhadap kebajikan pelajar-pelajar Pahang di luar negara agar mereka turut dapat merasai kemeriahan Aidiladha,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan EZ Qurban, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), masyarakat setempat serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkasakan syiar Islam di Pahang.
Menurutnya, antara usaha dilaksanakan termasuk pembinaan 44 masjid di seluruh negeri sejak 2018, bantuan kepada jemaah haji, pembinaan Rumah Rakyat Pahang secara percuma, bantuan kepada pasangan yang berkahwin kali pertama serta sumbangan RM10,000 kepada masjid dan surau yang melaksanakan solat Jumaat.
“Semua usaha ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan Islam dan kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya.-SAHIH.
