KONGRES: Garis panduan perlindungan guru wajar direalisasikan
KONGRES: Garis panduan perlindungan guru wajar direalisasikan
JERANTUT – Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap penggubalan garis panduan perlindungan guru bagi memperkukuh profesion keguruan serta memastikan pendidik dapat melaksanakan amanah dalam suasana selamat, adil dan profesional.
Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat, berkata guru kini semakin terdedah kepada pelbagai bentuk tekanan termasuk ancaman, gangguan, tohmahan di media sosial dan tindakan undang-undang, meskipun melaksanakan tugas mengikut prosedur ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, garis panduan itu bukan bertujuan memberikan kekebalan kepada guru daripada tindakan undang-undang, sebaliknya memastikan mereka mendapat perlindungan sewajarnya ketika menjalankan tugas secara profesional, beretika dan mematuhi peraturan.
“Situasi ini bukan sahaja boleh menjejaskan keyakinan guru, malah memberi kesan terhadap keberkesanan pengurusan disiplin dan pembentukan sahsiah murid di sekolah.
“Jika guru sentiasa dihantui kebimbangan akan disaman atau diancam, mereka mungkin menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya.
“Keadaan ini akhirnya boleh menjejaskan ketenteraman sekolah, disiplin murid serta usaha membentuk sahsiah generasi masa depan,” katanya.
Mohamad Zapawi berkata, garis panduan perlindungan guru yang kukuh juga boleh menjadi asas kepada cadangan penggubalan akta khusus bagi melindungi warga pendidik pada masa depan.
Menurutnya, perlindungan undang-undang yang munasabah mampu menarik dan mengekalkan bakat dalam profesion perguruan, selain meningkatkan imej serta martabat guru.
Beliau berkata, beberapa insiden serius sejak kebelakangan ini termasuk keganasan dalam kalangan murid, kejadian tikam rakan, cubaan membunuh diri dan peningkatan salah laku disiplin membuktikan tugas guru semakin mencabar.
“Guru memerlukan perlindungan undang-undang yang jelas supaya dapat bertindak tegas, pantas dan profesional tanpa dibelenggu kebimbangan terhadap tindakan undang-undang yang tidak berasas.
“Namun, pelaksanaannya perlu seimbang dengan prinsip akauntabiliti, integriti dan hak murid. Guru yang cuai atau menyalahgunakan kuasa tetap perlu bertanggungjawab mengikut undang-undang, manakala guru yang bertindak jujur dan mematuhi prosedur tidak seharusnya menjadi mangsa tekanan atau litigasi tidak wajar,” katanya.
Beliau menegaskan guru tidak meminta kekebalan daripada undang-undang, sebaliknya hanya menuntut keadilan dan perlindungan sewajarnya ketika melaksanakan amanah mendidik anak bangsa.-SAHIH.
